Jenayah

Banyak Aduan Kes Tipu Jualan Dalam Talian

KUALA SELANGOR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menerima kira-kira 800 aduan membabitkan penipuan pembelian dalam talian.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri, Azman Adam berkata, aduan itu diterima sejak Januari lalu hingga bulan ini dan penipuan urus niaga dalam talian diterima setiap minggu.

Beliau berkata, pembelian atas talian sukar untuk disiasat dan dikenakan tindakan kerana membabitkan platform jualan tidak secara rasmi, atau dipanggil ‘marketplace’ yang digunakan untuk membuat penjualan tidak berdaftar tanpa mendedah maklumat perniagaan.

“Contohnya, peniaga yang menjual menerusi media sosial cenderung meminta bakal pembeli ‘pm tepi’ (hubungi secara langsung) supaya harga yang dikenakan berbeza.

“Kalau mereka beli barang dalam talian ini melalui pengiklanan di Facebook, Instagram dan sebagainya, kami tidak tahu tempat perniagaan terbabit beroperasi dan siapa yang mengendalikannya.

“Jadi, agak sukar untuk kami mengesan dan mengambil tindakan ke atas peniaga terbabit, jika kami tidak mempunyai maklumat lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas 2017 Peringkat Selangor yang dirasmikan oleh Pegawai Kemajuan Negeri Selangor, Datuk Mohd Rosli Ramli di Pasar Raya Econsave di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah KPDNKK Selangor, Ahmad Fauzi Idris dan Pengurus Operasi Econsave, Lim Yoke Foong.

Mengulas lanjut, Azman berkata, aduan mengenai penipuan pembelian menerusi dalam talian yang berdaftar lebih mudah diselesaikan.

“‘Marketplace’ berdaftar senang nak ambil tindakan. Kami tahu di mana hendak cari mereka sebab kami ada maklumat mereka seperti nombor telefon, alamat rumah mereka (tempat operasi). Kecenderungan untuk menyelesaikan adalah tinggi.

“Boleh dikatakan setiap hari penguatkuasa KPDNKK Selangor membuat pemeriksaan ke premis ‘marketplace’ ini apabila menerima aduan dan jika boleh diselesaikan cara rundingan, kami selesaikan melalui cara dengan pihak terbabit,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, KPDNKK melaksanakan SKHMP Krismas 2017 bagi menyekatkan kenaikan harga barang keperluan menjelang perayaan itu bermula hari ini hingga 27 Disember ini.

“Skim yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu selama lima hari, dua hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan dua hari selepas hari perayaan.

“Sebanyak 11 jenis barang bagi pelaksanaan perayaan Krismas iaitu ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda, telur ayam gred A, B dan C, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing/biri-biri import bertulang, tomato dan lada benggala.

“Terdapat perubahan barangan berbanding 2016, iaitu daging kambing import tanpa tulang dan daging dan daging paha kambing import bertulang digugurkan pada pelaksanaan skim tahun ini, kerana tidak mendapat permintaan tinggi,” katanya.-BHonline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");