Jenayah

Bayi Ditinggal Dalam Almari

Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui selepas ditinggalkan dalam almari di dalam stor sebuah rumah di Jalan Burung Punai, Kampung Bahagia Jaya, Teku, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Khoo berkata, pengadu seorang wanita berusia 48 tahun mendakwa, bayi itu disedari anaknya yang terdengar tangisannya pada jam 4.30 petang tadi.

Beliau berkata, pengadu kemudiannya bergegas turun ke stor dan memeriksa almari sebelum menemui bayi lelaki yang dibalut dengan tuala.

“Pemeriksaan di dalam dan luar almari itu tidak menemui sebarang kesan darah, namun tali pusat ditemui berdekatan almari itu.

“Rumah pengadu terletak dalam kawasan kampung dan berpagar, namun ketika kejadian pagar tidak berkunci,” katanya.

Martin berkata, bayi malang itu sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut dan doktor mengesahkan dia baru dilahirkan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sudah dimaklumkan dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini tiada saksi tampil dan kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya untuk membantu siasatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");