Jenayah

Bekas Pengurus Besar Kena Jel 6 Tahun, Denda RM5.4j

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus besar anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang didapati bersalah atas lapan tuduhan rasuah membabitkan RM1 juta termasuk sebuah kereta mewah empat tahun lalu, dipenjara enam tahun dan didenda RM5.4 juta oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Azura Alwi yang mengenakan hukuman penjara dan denda itu terhadap Dr Shahanom Uthman, 53, turut memerintahkan tertuduh dipenjara 26 tahun jika gagal membayar denda berkenaan memetik sumber laporan Berita Harian.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati mahkamah tidak mempercayai keterangan pembelaan kerana tidak konsisten, hanya penafian semata-mata.

Tertuduh adalah bekas Pengurus Besar Projek dan Servis, Malaysia Transfomer Manufacturing Sdn Bhd (MTM).

Azura turut memerintahkan barangan peribadi seperti kereta mewah, cincin, beg tangan dan jam tangan jenama Tag Heuer tertuduh dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan.

Hakim bagaimanapun membenarkan permohonan peguam tertuduh untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara ke atasnya sementara menunggu rayuan dikemukakan.

Hukuman denda bagaimanapun perlu dibayar selewat-lewatnya pada 22 Januari depan.

Shahanom didakwa menerima wang tunai RM940,000 dan sebuah kereta BMW bernilai RM140,000 daripada Pengarah syarikat Bina Mekar Sdn Bhd, Ahsan Sabri Pang Abdullah dan pekerja syarikat itu, Te Boon Chun, sebagai upah untuk memberi diskaun kepada timbangan berat tembaga yang belum diproses.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi tempat letak kereta iaitu di bangunan Starhill Gallery, KL Festival City, Restoran Stadium Negara, Restoran ZK Al-Azmi Garden dan di pejabat Bina Mekar antara jam 11.30 pagi dan 9 malam, antara 5 Disember 2013 dan 18 Disember 2014.

Tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika disabitkan, boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani manakala peguam Mohd Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abdul Moin bertindak bagi pihak tertuduh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");