Sukan Hari Ini

Cheng Hoe Bebas Pilih Mana-Mana Pemain B-22

PENGENDALI baharu skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe diberi kebebasan untuk memilih mana-mana pemain dalam barisan skuad bawah 22 tahun (B-22) Malaysia dalam usaha memantapkan semula pasukan bolasepak negara.

Pengurus pasukan skuad B-22 Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pemain muda yang bakal dipilih perlu mempunyai kebolehan untuk ditempatkan dalam skuad kebangsaan dan pihaknya mengalu-alukan lamaran tersebut mengikut keputusan Cheng Hoe.

“Kalau beliau (Cheng Hoe) membuat pilihan untuk mengambil pemain muda ia sesuatu yang baik bagi pasukan B-22 kerana skuad kebangsaan memerlukan pelapis yang bakal menggantikan pemain senior pada masa hadapan.

“Lebih cepat pemain muda diserap dalam pasukan kebangsaan, lebih cepat mereka akan dapat meningkatkan diri membuat persediaan untuk menyertai skuad utama negara, namun keputusan tersebut terserah kepada Cheng Hoe,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan Melaka United bersama pasukan Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat, Krubong malam tadi.

Pasukan Melaka United (MU) tewas 2-1 pada aksi persahabatan pra musim setelah pasukan pelawat menjaringan dua gol menerusi dua pemain importnya Ivan Fatic dan Andre Zinho masing-masing pada minit ke-72 dan ke-87.

Gol tunggal MU dijaringkan Nurshamil Ab Ghani seawal minit pertama.

Mohd Yusoff berkata pasukan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee akan beraksi menentang Melaka United pada perlawanan persahabatan di ibu negara pada 14 Dismber ini.

Beliau berkata venue perlawanan masih belum ditetapkan, namun pihaknya berusaha untuk mengadakan perlawanan persahabatan tersebut di Stadium Shah Alam.

Katanya skuad bimbingan Kim Swee akan berangkat ke Korea Selatan pada 17 Disember ini bagi mengadakan kem latihan dan akan beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan yang telah diaturkan sebelum berangkat ke China pada awal Januari nanti.

“Mereka (Skuad B-22) akan menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan di Korea Selatan dan China sebagai persediaan bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Changshu dan Kunshan, China bermula 10 Januari hadapan,” katanya lapor Bernama.

Katanya persiapan awal ini penting bagi membolehkan barisan pemain negara dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk di China nanti selain turut melibatkan pendekatan untuk meningkatkan mentaliti pemain iaitu ‘bermain untuk menang’.

“Kita harap berbekalkan persiapan ini, skuad B-22 negara dapat bermain dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa bersemangat untuk menang pada aksi di China nanti,” kata Mohd Yusoff.

Sementara itu, beliau yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) berkata perlawanan malam tadi merupakan persiapan MU bagi menghadapi cabaran musim baharu Liga Super yang akan bermula pada tahun hadapan.

“Perlawanan persahabatan dengan pasukan Negeri Sembilan malam ini adalah lebih kepada ingin melihat kemampuan individu setiap pemain dan bukan lagi sebagai sebuah pasukan, namun pada malam ini kita sudah mula nampak keserasian yang wujud antara pemain baharu dan pemain lama dengan pola gerakan yang agak tersusun,” katanya.

Beliau berkata MU masih menunggu dua lagi pemain import iaitu seorang pemain dari Filipina bagi mengisi kekosongan bagi kuota pemain import dari ASEAN dan seorang pemain Venezuela yang kini bersama sebuah kelab di China akan beraksi sebagai jentera serangan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");