Penganalisis ekonomi dari ­Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sentimen itu juga didapati dalam kalangan agensi antarabangsa apabila Bank Dunia menaikkan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini daripada 4.9 kepada 5.2 peratus dan 2018 sekitar lima peratus.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menaikkan jangkaan pertumbuhan negara pada 2017 kepada 4.8 peratus dan Asian Development Bank (ADB) menaikkan jangkaan kepada 4.7peratus.

“Ini termasuk juga kesan dari China yang merupakan antara rakan kongsi utama Malaysia juga dijangka akan mengekalkan pertumbuhan positif KDNK negara tersebut pada tahun depan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai prestasi ASB tahun ini yang membayar dividen sebanyak tujuh sen seunit, bonus 0.25 sen seunit dan bonus khas satu sen seunit kepada 9.1 juta pemegang unit sebagaimana yang diumumkan oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, semalam.

Ahmed Razman berkata, selain itu, pelan strategik PNB iaitu STRIVE-15 telah membolehkan PNB mengumumkan bonus yang tinggi pada tahun ini.

Sementara itu, pensyarah di Fakulti Ke­usahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, bayaran dividen pada keseluruhannya agak berpatutan berdasarkan keadaan ekonomi semasa negara dan dunia.

“Pendapatan dividen ASB ini lebih tinggi daripada pendapatan faedah simpanan di bank atau dividen daripada syarikat-syarikat lain walaupun sebahagian besar pelabur terdiri daripada para pelabur kecil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau me­nyarankan agar bayaran dividen patut dibayar minimum 10 peratus setahun.

“Ini memandangkan sebahagian besar pelabur adalah pelabur kecil dan mengharapkan bayaran dividen sebagai salah satu sumber untuk membantu perbelanjaan pada hujung atau awal tahun.

“Saya juga ingin mengesyorkan supaya bayaran dividen tidak dipecahkan mengikut bayaran asas dan bayaran bonus kerana ini boleh mengelirukan pelabur terutama pelabur kecil,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ins­titut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Wan Saiful Wan Jan pula berkata, sudah tiba masanya PNB menumpu dan meningkatkan usaha bagi membolehkan le­bih ramai golongan B40 melabur dengan PNB.

“Sekarang masih terdapat ke­tidaksamarataan dalam jumlah pelaburan antara golongan berpendapatan tinggi dengan go­longan berpendapatan rendah. Mungkin agak sukar untuk golong­an B40 menabung,” katanya.-Utusan