Jenayah

Dua Hari Dalam Pembetung Air

TAMPIN – Seorang remaja dipercayai terjatuh dan terperangkap lebih kurang 48 jam dalam terowong sebuah pembetung air, berhampiran sebuah tokong di Taman Woon, di sini.

Kuang Choon Kang, 18, bagaimanapun bernasib baik apabila ditemui pasukan bomba dan penyelamat, kira-kira 11.40 pagi semalam dalam keadaan tidak bermaya.

Memetik laporan Sinar Online, mangsa yang hilang sejak Khamis lalu sebelum itu dia dikatakan berkelakuan pelik sehingga usaha mencari dilakukan orang kampung.

Pengerusi JKKK Kampung Baru Tampin, Koh Kim Swee berkata, beliau membuat aduan kepada bomba selepas mengetahui kehilangan remaja berkenaan daripada rakannya yang merupakan Ketua MCA Cawangan Pulau Sebang.

“Nenek remaja itu memberitahu cucunya itu menghilangkan diri tiba-tiba, sejak Khamis, tak tahu di mana. Ada penduduk nampak dekat restoran. Orang di tokong pun kata ada nampak dia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Taman Rasa Sayang, di sini, semalam.

Menurutnya, timbul kemusykilan apabila orang kampung menemui beg milik mangsa di kawasan berhampiran tokong menghala ke kawasan hutan.

Ini kerana, katanya, dalam beg berkenaan mengandungi satu nota dalam tulisan Cina yang bermaksud ‘mahu mati sendiri’ selain bekalan makanan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Penolong Penguasa Bomba S Dullasi Nathan berkata, pihaknya menerima aduan kehilangan remaja itu kira-kira jam 10.40 pagi semalam.

“Kita mengesan mangsa di lokasi terakhir dilihat berhampiran tokong, di kawasan hutan Gunung Tampin.  Kita gerakkan dua pasukan. Satu pasukan mencari di kawasan hutan dan satu lagi di mencari dalam terowong pembetung air.

“Mangsa ditemui tersangkut dalam terowong sedalam 20 meter setelah kira-kira sejam pencarian,” katanya di sini, semalam.

Nathan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak bersuara dan lemah kerana sudah lama tidak makan dan minum.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan mangsa. Mangsa cedera di leher dan kaki dihantar ke Hospital Tampin bagi rawatan lanjut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");