Berita Hari Ini

Guru Dikhuatiri Hilang Semangat Untuk Didik Pelajar

KUALA LUMPUR: Isu guru lelaki didakwa kerana menampar muridnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Nilai pada April lalu, mencetuskan rangkaian kesan negatif.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia menjejaskan martabat pendidik di mata masyarakat apabila tertuduh, Azizan Manap atau Gikgu Azizan digari dan ditempatkan bersama 13 tahanan lain, yang terbabit dengan kesalahan jenayah serius, termasuk dadah selepas pendengaran pertama kes berkenaan Oktober lalu.

Keadaan itu juga, katanya, dikhuatiri bakal melemahkan semangat guru dalam mendisiplinkan pelajar memetik sumber Berita Harian.

“Dakwaan bahawa pelajar berusia 11 tahun itu terbabit dengan pelbagai kesalahan disiplin, termasuk menghidu gam, bergaduh, ponteng kelas dan membuli pelajar lain perlu diambil berat kerana ia menunjukkan betapa seriusnya isu terbabit.

“Ia turut menunjukkan betapa sukarnya tugas guru untuk mendisiplinkan pelajar kerana mereka terdedah kepada campur tangan ibu bapa dan tindakan undang-undang.

“Masalah disiplin pelajar sebenarnya perlu diberi perhatian serius dan ditangani bersama oleh semua pihak terutama guru serta ibu bapa, justeru langkah segera wajar diambil,” katanya.

Terdahulu Majistret Mohd Zaki Abd Rahman, semalam membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Cikgu Azizan, 44, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pihak pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan di mahkamah sama Oktober lalu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Taman Semarak, Nilai itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Kata Lam Thye berkata, cadangan dikemukakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) untuk memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/ Penjaga harus dilaksanakan secepat mungkin oleh Kementerian Pendidikan.

“Kod etika ini harus menggariskan jenis hukuman yang boleh dilaksanakan terhadap pelajar supaya mereka tidak cedera atau mengalami trauma berpanjangan, manakala ibu bapa perlu dimaklumkan mengenai tingkah laku anak mereka dalam usaha mendisiplinkan pelajar.

“Ini bagi mengelak dakwaan bahawa ibu bapa tidak mengetahui langsung masalah disiplin yang dilakukan anak mereka dan ‘melompat’ dengan api kemarahan apabila hukuman dikenakan kepada pelajar terbabit,” katanya.

Selain itu, katanya, agensi penguat kuasa wajar membantu pihak sekolah membendung masalah disiplin pelajar melalui kempen kesedaran dan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat untuk mengekang penularan gejala penyalahgunaan dadah, samseng serta keganasan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");