Berita Hari Ini

Guru Perlu Faham Undang-Undang

BANGI: Guru perlu mempunyai kefahaman undang-undang bagi memastikan setiap tindakan disiplin diambil terhadap pelajar tidak memakan diri.

Memetik laporan BH Online, Penyelaras Citra Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Noorfajri Ismail, berkata warga pendidik hari ini berdepan dengan pelbagai risiko terutama dengan peningkatan pengetahuan undang-undang dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, pemahaman jelas mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk merekodkan setiap tindakan dilakukan ketika melaksanakan hukuman terhadap pelajar dapat melindungi guru.

“Sebarang tindakan atau tatacara apabila mengendalikan kes displin pelajar ada dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini.

“Guru perlu mengambil tindakan berdasarkan SOP itu termasuk memastikan sudah mengikut garis panduan disediakan khususnya dari segi pendokumentasian sebagai bukti, ” katanya pada program ilmu Bicara Persada ke-42 bertajuk Cikgu Azizan: Antara Mendidik Dengan Mendisplin, di Mana Sempadannya?, di sini hari ini.

SPI menerangkan secara terperinci langkah yang boleh diambil oleh guru, sekiranya pelajar melakukan kesalahan dan tindakan yang wajar dilakukan dalam mendidik pelajar menjadi insan berguna.

Antaranya teguran, surat kepada ibu bapa dan akhir sekali ialah gantung atau buang sekolah.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof Madya Dr Salleh Amet, berkata tugas mendisplin pelajar perlu dipertanggungjawabkan kepada semua guru dan bukannya diletakkan ke atas guru disiplin semata-mata.

“Tindakan mendisiplin pelajar bukan hanya membabitkan apabila pelajar melakukan kesalahan. Disiplin satu proses dalam kita mendidik seseorang itu supaya lebih bertanggungjawab kepada dirinya.

“Ada pelbagai kaedah yang boleh digunakan seperti ganjaran dan psikologi sebelum kita melaksanakan tindakan seperti mendenda dan mengenakan hukuman lebih berat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");