Sukan Hari Ini

Harap ‘Tangan Ghaib’ Tak Kacau Cheng Hoe: Azraai

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berharap tidak ada ‘tangan ghaib’ mengganggu tugas Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya demi mengembalikan martabat bola sepak negara.

Sambil menyambut baik kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi jaminan akan memberi kebebasan penuh kepada Cheng Hoe, Azraai berkata ia memang sesuatu yang wajar.

“Ia kenyataan yang positif daripada Tunku Presiden serta sebaik-baik jaminan kerana memang sewajarnya Cheng Hoe diberi kebebasan membentuk pasukan mengikut acuannya.

“Malah, inilah (kebebasan) yang sangat diperlukan oleh setiap jurulatih apabila dilantik ke jawatan berkenaan. Keyakinan serta kepercayaan penuh perlu diletak di bahunya.

“Ini kerana, pada akhirnya, apa pun hasil yang dicapai kelak, sama ada berjaya atau gagal, orang yang bertanggungjawab adalah jurulatih.

“Adalah tidak adil seseorang jurulatih yang menerima hukuman bila pasukan gagal sedangkan dia tidak diberi kebebasan mencorakkan pasukan seperti diinginkan.

“Saya berharap, dengan kenyataan Tunku Presiden itu, tidak akan ada ‘tangan ghaib’ yang mengganggu kerja Cheng Hoe. Kalau tidak, lantik sesiapapun, nasib bola sepak kita tidak akan berubah,” kata Azraai, menerusi laporan BH Online

Mengenai pemilihan pemain yang bakal membarisi skuad kebangsaan kelak, Azraai menganggap Cheng Hoe sudah cukup matang untuk membuat penilaian.

“Beliau sudah lama terbabit dengan bola sepak Malaysia, pernah menjadi penolong kepada (Datuk) K Rajagobal dan (Nelo) Vingada untuk skuad kebangsaan, juga sebagai jurulatih Kedah, beliau kenal sangat dengan pemain kita.

“Saya yakin, beliau tahu untuk menilai antara kaca dengan permata. Jadi, tidak wajar untuk saya memberitahu beliau siapa yang perlu diambil dan siapa pula perlu dibuang.

“Soal pemain baru atau lama tidak jadi isu kerana yang penting apakah pemain itu relevan atau tidak dengan perancangan beliau.

“Cuma, jika benar ada pemain yang besar kepala dalam skuad kebangsaan sekarang seperti didakwa oleh Tunku Ismail, inilah pemain yang perlu diketepikan lebih awal oleh Cheng Hoe kerana ia boleh menjadi virus kepada pasukan.

“Pilihlah pemain yang benar-benar bersemangat untuk mewakili negara walaupun dia mungkin bukan seorang bintang kerana status seseorang pemain bukan jaminan untuk kejayaan.

“Saya yakin dengan pengalaman dimiliki Cheng Hoe, beliau adalah pilihan yang tepat. Kita sudah mencuba dengan jurulatih luar (Vingada) tapi gagal, apa salahnya beri peluang kepada orang tempatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");