Berita Hari Ini

Hati-Hati Dengan ‘Caller ID Spoofing’

PETALING JAYA: Kes membabitkan penipuan wang mencecah ratusan ribu ringgit semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini apabila mangsa dengan mudahnya terpedaya dengan taktik licik scammer.

Hanya bermodalkan air liur, mangsa dengan sekelip mata boleh terjerat dengan pujuk rayu scammer dalam mendapatkan butiran peribadi perbankan mereka.

Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, taktik yang digunakan oleh sindiket tersebut adalah ‘Caller ID Spoofing’, sejenis penipuan yang meniru nombor telefon pihak lain dan nombor tersebut akan tertera pada telefon mangsa yang dihubungi.

“Mereka akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai dan memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan kes jenayah, saman mahkamah, mempunyai jumlah tunggakan kad kredit.

 “Atau mereka akan cuba mewujudkan situasi yang membuatkan mangsa panik sekali gus menjadikan mangsa percaya bahawa panggilan berkenaan adalah daripada pihak berkuasa atau agensi yang sah,” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau turut menggesa para pengguna agar lebih berwaspada apabila menerima panggilan yang mencurigakan supaya tidak mudah tertipu dengan kegiatan haram tersebut.

“Ia juga amat penting bagi pengguna untuk memahami implikasi jika mendedahkan maklumat peribadi dengan sewenang-wenangnya kepada pihak yang diragui.

“Jika mendapat panggilan yang mencurigakan, CFM menyarankan agar pengguna menghubungi sendiri institusi yang berkaitan atau terus pergi ke pejabat institusi tersebut yang berdekatan dengan anda untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut,” ujarnya.

Pada 2 Disember lalu, mStar Online melaporkan, seorang wanita kerugian RM90,000 selepas terpedaya kononnya dia terlibat dalam skim pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa menerima satu panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang eksekutif bank pada 30 November lalu dengan menyatakan bahawa dia mempunyai tunggakan pinjaman.

“Apabila dia menafikan mempunyai sebarang pinjaman dengan bank berkenaan, lelaki itu mahu menyambungkan talian kepada ibu pejabat polis Perak di mana dia diberitahu bahawa butirannya telah digunakan untuk mendapatkan satu pinjaman bank,” katanya.

Pemanggil turut meminta mangsa membaca kad pengenalannya sebelum memberitahu dia dalam senarai dikehendaki polis kerana pengubahan wang haram.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");