KUALA LUMPUR – Indeks Pengurus Pembuatan Nikkei Malaysia (PMI) meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 43 bulan iaitu 52.0 pada November berbanding 48.6 pada Oktober, didorong oleh peningkatan keadaan permintaan domestik dan luar negara.
Penyedia perkhidmatan maklumat dan analisis, IHS Markit yang mengendalikan kaji selidik terbabit berkata, data-data November turut menunjukkan peningkatan paling kukuh bagi sektor pembuatan Malaysia sejak April 2014.
Selain itu, pakar ekonominya, Aashna Dodhia berkata perkembangan positif itu turut menggalakkan peningkatan jumlah pekerjaan pada kadar paling kukuh sejak Disember 2012.
“Bagaimanapun, tekanan inflasi terbukti menjadi kekangan kepada prestasi perniagaan, termasuk adanya laporan mengenai kesukaran pembekal mendapatkan bahan mentah,” katanya dalam satu kenyataan lapor Bernama.
Berikutan itu, Dodhia berkata, prestasi vendor turut terjejas buat pertama kalinya dalam masa tiga bulan.
Selain itu, beliau berkata, tempahan baharu bagi eksport meningkat pada kadar kedua terpantas dalam sejarah dan sekali gus memaparkan peningkatan permintaan terhadap barangan Malaysia di luar negara.
“Momentum pertumbuhan di Malaysia secara keseluruhannya berkemungkinan besar akan kekal sehingga akhir tahun ini,” katanya.