Berita Hari Ini

Isu Boikot: McDonald’s Malaysia Jumpa, Beri Penjelasan Kepada Mufti Wilayah

KUALA LUMPUR: Berdepan kempen boikot kerana didakwa menyokong Israel, McDonald’s Malaysia hari ini mengambil inisiatif bertemu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri untuk memberi penjelasan berhubung operasi perniagaan mereka.

Memetik laporan MalaysiaGazette, syarikat francais restoran makanan segera terbesar di dalam negara itu diwakili tiga wakil daripada Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd yang merupakan syarikat operasi McDonald’s Malaysia, malah Zulkifli juga memuat naik gambar dalam akaun Facebooknya.

Zulkifli dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya berkata, “Kami berpuas hati dengan kenyataan mereka dan amat menghargai kesungguhan mereka membantu pelbagai lapisan komuniti dalam program-program kebajikan melalui Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC).”

Beberapa topik dibincangkan antara wakil McDonald’s dengan Zulkifli, iaitu berkenaan :

  1. Struktur pemilikan McDonald’s Malaysia.
  2. Sumbangan kebajikan kepada komuniti di Malaysia.
  3. Status pemilikan McDonald’s AS.
  4. Royalti kepada McDonald’s AS.
  5. Keterlibatan McDonald’s dalam konflik-konflik dunia.
  6. Program “Matching Gifts”.

Zulkifli memuji langkah McDonald’s Malaysia yang turut terlibat dalam membantu untuk tujuan pembangunan ekonomi masyarakat pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan umat Islam secara khususnya.

“Semoga ukhuwah ini berkekalan dan usaha-usaha pemberdayaan masyarakat digiatkan lagi bagi tujuan pembangunan ekonomi masyarakat pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan umat Islam secara khususnya,” ujarnya lagi.

Wakil daripada McDonald’s terdiri daripada Azhar Darbi (Pengarah Kanan Sumber Manusia, Pentadbiran dan Perhubungan Halal), Mohd Nasir Mailok (Pengurus Operasi Kanan) serta Mohd Najib Mohtar (Pegawai Kanan hartanah dan Pengurusan Aset).

Baru-baru ini, McDonalds’S Malaysia membuat laporan polis terhadap lebih 20 individu dan organisasi kerana memfitnah rangkaian restoran makanan segera itu kononnya menyalurkan dana kepada Israel.

Kontroversi terbaharu itu timbul susulan Presiden Donald Trump mengisytiharkan Kedutaan Amerika Syarikat di Tel Aviv akan dipindahkan ke Baitulmaqdis dan mengiktiraf kota suci itu sebagai milik Israel.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");