Isu Panas

Jangan Terpedaya Tuduhan Pembangkang

ALOR SETAR – Rakyat diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tuduhan pembangkang, kononnya Umno sengaja mengapi-apikan hubungan antara pihak Istana dengan pembangkang, apabila membangkitkan isu keturunan Tun Dr Mahathir Mohamad, isu lanun Bugis dan terbaharu status twitter Datuk Zaid Ibrahim berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, agak menjengkelkan apabila pemimpin Umno terlibat dikatakan rasis, sedangkan pembangkang sering menggunakan isu berkenaan untuk melagakan pemimpin parti lain.

“Itulah politik pembangkang, apa Umno buat semua tak kena. Kalau mereka buat, semua tak apa. Kita (Umno) dituduhnya rasis bila bercakap isu agama dan keturunan, mereka boleh pula,” katanya, selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Wanita sempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1 Malaysia (BKK1M), di Taman Sri Indah, Mergong, semalam memetik sumber Sinar Harian.

Beliau yang merangkap Pengerusi Umno Kedah berkata, pembangkang sering menuding kesalahan kononnya Umno menggunakan pendekatan adu domba, sebaliknya ia adalah rencah dalam politik pembangkang

“Dikatakan kita mengadu domba, sedangkan mereka yang sering melaga-lagakan pemimpin, itulah kerja pembangkang. Macam-macam tohmahan mereka lemparkan kepada Umno, tak perlulah kita ambil kisah kata-kata nista tu, sebab ia suatu kebiasaan bagi mereka,” katanya.

Kelmarin, Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dalam sebuah portal menyebut, pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) diingatkan supaya tidak terjerumus dalam perangkap Umno yang dilihat mengapi-apikan hubungan pembangkang dengan pihak Istana.

Ia susulan sesetengah pihak dalam Umno didakwa memanjangkan isu Zaid bagi mengalih perhatian rakyat daripada penyelewengan 1MDB.

Adun Mentakab itu juga dipetik berkata, Umno yang memulakan serangan dan propaganda halus dengan mencetuskan isu keturunan Mahathir sehingga berlarutan, selain cuba mengheret Istana dalam isu politik bagi menjejaskan hubungan antara pihak Istana dengan pembangkang.

Beliau turut menempelak sikap Mahathir yang didakwa berubah apabila menyertai pembangkang.

“Buktinya Mahathir, dulu dia cakap DAP rasis, sekarang DAP sudah tidak lagi rasis. Masa dia jadi pembangkang, semua boleh buat. Lebih baik Umno tumpu sahaja pada gerak kerja, biar rakyat menilai siapa betul siapa salah, tak perlulah buat pelbagai tuduhan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");