Berita Hari Ini

Jumlah Mangsa Banjir Di Kelantan Kini 2,411

KOTA BHARU: Pasir Mas dan Tumpat yang terjejas teruk dilanda banjir sejak minggu lalu menyaksikan penurunan mendadak menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini berubah kepada 2,411 orang setakat jam 11 malam tadi.

Daripada jumlah itu, 864 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah termasuk Pasir Puteh.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, bilangan mangsa banjir di negeri ini menurun secara mendadak jika dibandingkan seramai 4,173 orang ditempatkan di 18 PPS pada jam 6 petang tadi.

Tumpat menunjukkan perubahan yang paling ketara apabila kini merekodkan seramai 970 mangsa daripada 308 keluarga membabitkan lima PPS berbanding 2,514 orang pada petang tadi.

Pasir Mas pula yang mencatat mangsa banjir paling tinggi terus menunjukkan trend menurun kepada 1,417 mangsa membabitkan 551 keluarga ditempatkan di lapan PPS, berbanding 1,635 orang petang tadi.

Pasir Puteh yang mempunyai satu lagi PPS di SK Wakaf Raja, Bukit Awang masih tidak berubah dengan menempatkan 24 orang daripada lima keluarga, sejak kelmarin.

Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan dijangka terus berkurangan dari semasa ke semasa memandangkan cuaca makin baik.

Sementara itu, keadaan Sungai Golok di Rantau Panjang dilihat semakin surut namun masih di paras bahaya iaitu 9.6 milimeter (mm) berbanding 9.73 mm petang tadi.

Bagaimanapun, sukatan Sungai Galas di Dabong kembali mencecah paras berjaga-jaga dengan 32.39 mm sejak jam 9 malam tadi berbanding paras berjaga-jaga ditetapkan 32 mm.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");