Sukan Hari Ini

KAFA mahu dapatkan Amiridzwan

KOTA BHARU: Bekas pemain kebangsaan, Amiridzwan Taj berada dalam radar Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk dibawa masuk bagi memperkemaskan barisan pertahanan The Red Warriors (TRW) musim depan.

Amiridzwan yang pernah menyarung jersi skuad Kijang Merah pada musim 2015 bakal mengisi kekosongan pertahanan sekali gus menjadi pemain tempatan ketiga dibawa masuk badan induk itu selepas turut mengikat S Veenod dari Selangor dan Shafiq Sharudin dari Johor Darul Ta’zim II (JDTII).

Mengesahkan perkara itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya sudah menghubungi Amiridzwan bagi bertanyakan persetujuannya untuk bersama pasukan Kelantan bagi musim depan.

“Baru tadi (hari ini) saya menghubungi dia serta menanyakan keadaannya setakat ini. KAFA meminta dia balik untuk bermain dengan Kelantan bagi musim depan namun dia belum lagi memutuskan pelawaan itu,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani turut memaklumkan penaja dari Syarikat minuman Probiotik, Yakult serta Syarikat pengeluar komponen elektrik, Rohm-Wako hampir pasti meneruskan penajaan kepada pasukan itu bagi musim depan.

Katanya, setakat ini rundingan awal sudah dipersetujui dua pihak dan hanya menunggu keputusan sah secara bertulis dari dua syarikat Jepun itu.

“Yakult akan terus taja pasukan Kelantan, hanya tinggal KAFA kena balas surat tawaran pada Isnin atau Selasa ini dan selepas itu surat terma dan syarat dari KAFA akan ditandatangani bersama pihaknya.

“Bagi Rohm-Wako, kita masih menunggu keputusan akhir dari pejabat mereka di Jepun dan keputusan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kunjungan hormat pengurusan KAFA menemui Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Faiz Petra pada Jumaat lalu, Bibi Ramjani memaklumkan ia adalah kunjungan rasmi kali pertama dilakukan sejak badan induk itu dibarisi kepimpinan baharu pada September lalu.

Katanya, kunjungan terbabit turut membincangkan mengenai hala tuju serta perkembangan terkini pasukan bola sepak Kelantan.

“Kita banyak berbincang mengenai hala tuju sukan kegemaran rakyat, bola sepak bersama Tuanku.

“Sebab Tuanku pun banyak mengikuti perkembangan bola sepak luar dan tanah air. KAFA menjunjung kasih atas kesudian Tuanku Pemangku menerima kunjungan dari kami selaku pengurusan KAFA yang baharu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");