KUALA LUMPUR: Majlis resepsi pelakon, Mawar Rashid, 22, dan Raden Ahmad Faizal Yaakob atau lebih dikenali sebagai Raf, 32, bertemakan Enchanted Garden berlangsung dalam suasana meriah di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Jumaat lalu.
Mawar atau nama penuhnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid sendiri, kelihatan anggun dalam persalinan rekaan Putra Aziz daripada Cosry dengan wajahnya disolek oleh Ramzamode, dan rambut pula hasil dandanan Syuk Qadir.
Raf yang juga adik kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley, pula mengenakan sut rekaan Cosry.
Dalam majlis serba indah dan mewah yang diilhamkan oleh perancang perkahwinan, Glam Weddings by Rizalman itu, kek perkahwinan pasangan terbabit yang diberi nama Enchanted Rose turut mendapat perhatian tetamu yang hadir, malah ia juga menjadi bualan netizen di alam maya, seperti mana dilaporan BH Online.
Ketua Pereka Kek SukaSucre Bistro, Azrene, menyediakan kek terbabit dengan setiap satu lapisan bertatahkan kristal Swarovski yang diletakkan di atas juraian lampu gantung mewah.
Kek yang menggunakan 7,777 biji kristal dengan ketinggian kira-kira 12 meter itu sekali gus dikatakan yang tertinggi pernah dihasilkan, sepanjang sejarah resepsi persandingan di Malaysia.
Kira-kira 600 tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai hadir memeriahkan majlis berkenaan termasuk ibu Raf, Datin Umi Kalsum Abd Latib dan ibu Mawar, Datin Marinee Abdullah.
Majlis juga dimeriahkan dengan nyanyian bakat SukaSucre Creatives, Imran Ajmain, selain kejutan persembahan oleh kawan baik Raf yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mood Republic, Kimi Iskandar Ismail.
Selain itu, penyanyi sedang meningkat naik, Amira Othman, turut menghiburkan tetamu selain persembahan tarian Asyik dari Kelantan oleh isteri Fazley, Datin Azrene Ahmad, dan nyanyian daripada cef selebriti itu sendiri.
Pasangan berkenaan selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz tepat jam 3.20 petang di hotel terkemuka di sini, pada 9 November lalu.