Berita Hari Ini

Kenduri Kahwin Dalam Air

PASIR MAS: Sambutan majlis perkahwinan di Kampung Jejawi, di sini, meriah walaupun terpaksa kenduri dalam air sedalam kira-kira 0.3 meter, berikutan banjir sejak minggu lalu.

Menurut laporan BH Online, tetamu yang hadir ke kenduri berkenaan diangkut menaiki sampan sejauh kira-kira 100 meter untuk ke tempat kenduri.

Kira-kira 50 ahli rombongan daripada keluarga pengantin lelaki dibawa menaiki lori bomba melalui jalan alternatif sejauh 22 kilometer, sebelum menaiki sampan penduduk kampung kerana air yang naik sehingga satu meter.

Pengantin lelaki, Anuar Abdul Hamid, 37, berkata dia dan keluarga terpaksa meminta bantuan bomba bagi membawa saudara mara yang mengikuti rombongan majlis perkahwinannya kerana jalan ke rumahnya sendiri di Bukit Tandak, di sini turut dinaiki air.

“Saya bersyukur walaupun terpaksa menempuhi pelbagai cabaran untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan, Yumni Abdul Manaf, 27, akhirnya semua selesai dan selamat.

“Perkahwinan saya ini akan menjadi sejarah kerana keunikan kenduri ketika banjir, selain tetamu terpaksa menjamu selera dengan merendam kaki di dalam air hampir 0.5 meter.

“Walaupun banjir mula melanda sejak Ahad lalu, saya dan pasangan tidak berhasrat untuk membatalkannya kerana percaya majlis boleh diteruskan, lebih-lebih lagi paras air sudah mulai surut,” katanya yang baru tiga bulan berkenalan dengan isteri.

Anuar berkata, dia merancang untuk berkahwin pada Disember, namun tidak menyangka banjir yang melanda tahun ini lebih lama.

“Walaupun majlis kami terpaksa diadakan di dalam banjir, semua yang hadir tetap gembira selain meluahkan rasa teruja kerana kebanyakan mereka tiada pengalaman menghadiri kenduri dalam banjir.

“Saya turut berasa terharu kerana tetamu sanggup datang meredah banjir meraikan perkahwinan kami meskipun ada yang pakaian mereka basah dan sanggup berkaki ayam untuk sampai ke majlis ini,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada bomba dan penduduk yang menyediakan pengangkutan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");