Jenayah

Kes Menyamar Polis Dan Samun: 6 Ditahan

SHAH ALAM: Enam lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan kes menyamar polis sebelum menyamun keluarga seorang ahli perniagaan di Seksyen 7, di sini, Isnin lalu.

Semua suspek berusia 29 tahun dan dalam lingkungan 30-an itu ditahan dalam tempoh kurang 24 jam di sekitar Sungai Buloh dan Segambut, Kuala Lumpur, bermula jam 4.30 petang semalam.

Menerusi laporan BH Online, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata penahanan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai kejadian samun berkenaan.

“Tangkapan pertama di Kampung Paya Jaras membabitkan seorang lelaki yang disyaki terbabit secara terus dalam kes berkenaan.

“Ia diikuti penahanan empat lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia di Segambut yang dijalankan sehingga jam 4 pagi tadi,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kontinjen negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan ketika kejadian jam 4.50 pagi itu, mangsa iaitu bapa dan tiga anaknya berusia 20 hingga 50-an sedang tidur di rumah berkenaan sebelum tiga lelaki berpakaian biasa berusia 30-an mengetuk pintu dan mendakwa mahu menjalankan pemeriksaan dengan menggeledah rumah itu.

Mereka termasuk seorang yang dipercayai bersenjatakan pistol kemudian menggari empat beranak itu dan melarikan diri bersama kereta Honda Insight milik mangsa selain komputer riba, barang kemas serta beberapa telefon bimbit.

Mazlan berkata, pihaknya menganggap kes itu berjaya diselesaikan namun sedang mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan.

“Mereka dikenal pasti sebagai Rizal Zee Alias, 46, dan Mohd Saufi Hashim, 33. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke balai polis berdekatan,” katanya.

Keenam-enam mereka direman tujuh hari, bermula hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");