Jenayah

Kontraktor Mengantuk Langgar Suami Isteri Hingga Maut

KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini akibat memandu keretanya dalam keadaan mengantuk lalu terbabas dan melanggar pasangan suami isteri sehingga maut, lapan tahun lalu.

Memetik laporan Bernama, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Yap Kim Sing, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas perbuatannya itu.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Tertuduh didakwa memandu kereta jenis Proton Persona tanpa pertimbangan munasabah sehingga menyebabkan kemalangan terhadap motosikal yang ditunggangi Muhammad Salim Ahmad, 20, dan dibonceng isterinya Rahimah Abdul Rahim, 21.

Yap dituduh melakukan kesalahan itu di simpang lampu isyarat Jalan Lembah Jaya Selatan, Hulu Langat, di sini pada 3.45 pagi, 19 Julai 2009 mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh juga dihukum penjara 12 bulan.

Mengikut fakta kes, Yap yang memandu kenderaannya dari arah Hulu Langat telah gagal mengawal kenderaannya dan melanggar motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri itu ketika mangsa berada di persimpangan lampu isyarat Lembah Jaya menghala ke Bukit Belacan.

Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, hasil siasatan lanjut mendapati Yap memandu kenderaannya dalam keadaan mengantuk.

Ketika rayuan Yap yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya kerana dia perlu menyara kedua ibu bapanya yang sudah tua.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira tertuduh telah melakukan kesalahan serius kerana menyebabkan berlakunya kemalangan maut dan bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");