IPOH:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak merampas tiga buah komputer riba dan sebuah komputer yang mengandungi perisian salinan langgaran bernilai RM354,000 dalam serbuan di dua premis perniagaan di sini, pada 29 dan 30 November lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata serbuan di kedua-dua premis dijalankan setelah menerima aduan daripada pihak Business Software Alliance (BSA).
Katanya serbuan pertama di premis yang menjalankan perniagaan dalam pembuatan serta pemasangan mesin bagi pembungkusan makanan di kawasan Perindustrian Lahat mendapati terdapat tiga perisian salinan langgaran bernilai RM327,000 dalam komputer riba yang turut dirampas.
Manakala bagi lokasi kedua pihak KPDNKK telah merampas tiga komputer riba, dua komputer desktop yang mengandungi sepuluh salinan perisian langgaran iaitu perisian ‘Autodesk’ dan lapan salinan langgaran jenis ‘Adobe’ melibatkan sebuah premis perniagaan yang menjalankan perniagaan hiasan dalaman.
“Kesemua perisian yang disyaki salinan langgaran di dalam kedua-dua komputer tersebut adalah perisian yang dimiliki hakciptanya oleh Adobe, Autodesk dan SOLIDWORKS yang merupakan ahli BSA.
“Kedua-dua syarikat tersebut disiasat dibawah seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 iaitu mana-mana orang yang ada dalam miliknya, jagaan atau kawalan bagi apa-apa kegunaan selain daripada untuk kegunaan persendirian dan domestik apa-apa salinan langgaran,” katanya menerusi satu kenyataan media yang diwakili oleh Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDNKK Perak, Ahmad Ahrazzudin Ahmad Hamdan dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat KPDNKK Perak, Bangunan Persekutuan, di sini, hari ini.
Katanya bagi kesalahan yang melibatkan isu perisian langgaran, pemeriksaan dari Januari 2017 hingga 30 November 2017 sebanyak lima kes telah dilaporkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM372,500.
Sementara itu katanya, pihak KPDNKK sama sekali tidak akan berkompromi sekiranya masih terdapat premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti dan pemasangan perisian cetak rompak.