Jenayah

Lelaki Tempatan Ditahan Bersama PATI

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang baru menyeludup masuk menggunakan pengkalan haram di Rantau Panjang, di sini, semalam.

Operasi jam 4.45 pagi di Kampung Tersang Jeram Perdah, itu turut menahan dua lelaki tempatan dipercayai tekong yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan PATI berusia tiga hingga 49 tahun.

Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata serbuan dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu dilakukan hasil intipan dan maklumat awam.

“Kita membuat kepungan di kawasan berkenaan dan mendapati dua lelaki tempatan sedang menguruskan PATI menaiki dua kenderaan.

“Pemeriksaan di kawasan sekitar menemui 13 PATI termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun, manakala empat lagi sudah memasuki kenderaan.

“Seorang lelaki tempatan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohammed Saupee berkata, siasatan awal mendapati sekumpulan warga Myanmar berkenaan baru menyeludup masuk ke Kelantan menggunakan pengkalan haram Tersang.

“Mereka dipercayai akan dihantar ke Lembah Klang dan selatan untuk bekerja atau mungkin mereka mangsa pemerdagangan manusia.

“Kita turut merampas dua kereta bernilai lebih RM100,000 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, dua lelaki tempatan ditahan mengikut Seksyen 26(J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala PATI warga Myanmar disiasat mengikut Akta Imigresen 1959.-BHonline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");