Berita Hari Ini

Malaysia Kecewa AS Guna Kuasa Veto

KUALA LUMPUR: Malaysia kecewa dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) berhubung status Baitulmaqdis, Isnin lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata 14 undi menyokong berbanding satu undi menentang dalam mesyuarat UNSC adalah petunjuk jelas yang masyarakat dunia menolak tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Malaysia kecewa dengan veto AS, walaupun tindakan itu memang sudah dijangka.

“Malaysia kekal dengan pendirian yang isu Baitulmaqdis di Palestin adalah faktor yang mendorong semua negara anggota PBB tidak mengiktiraf segala usaha untuk mengubah karektor dan status Baitulmaqdis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa lapor Berita Harian.

Draf resolusi itu dibentangkan Mesir bertujuan membatalkan pengiktirafan Presiden Donald Trump terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sesi pengundian menyaksikan 14 ahli Majlis Keselamatan menyokong draf resolusi berkenaan, namun AS menggunakan kuasa veto menentangnya melalui dutanya ke PBB, Nikki Haley.

Draf resolusi itu menekankan status akhir Baitulmaqdis perlu diselesaikan menerusi rundingan sejajar dengan keperluan resolusi PBB.

Ia turut menuntut semua negara mematuhi 10 resolusi yang diluluskan PBB berhubung Baitulmaqdis sebelum ini.

Anifah berkata, Malaysia turut mengalu-alukan inisiatif diusulkan Turki supaya Sesi Khas Tergempar Perhimpunan Agung PBB (UNGA) diadakan bagi membincangkan isu itu, dengan mengemukakan resolusi yang hampir sama.

“Malaysia sentiasa menyokong usaha berterusan terhadap penubuhan negara Palestin yang bebas dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");