Berita Hari Ini

Mekanisme GST Banyak Beri Faedah Kepada Golongan Berpendapatan Rendah

KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan rendah telah menerima lebih banyak faedah bantuan kerajaan dari hasil Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, menerusi mekanisme GST, golongan berpendapatan tinggi akan membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka, sekali gus kutipan cukai ke atas kumpulan itu juga lebih tinggi.

“Masih ada lagi salah faham mengenai pelaksanaan GST di Malaysia, dan ada juga yang menganggap GST Malaysia suatu cukai regresif seperti GST atau Cukai Nilai Tambah (VAT) yang dilaksanakan di negara-negara lain.

“Jika dikaji, mekanisme GST di Malaysia ini sebenarnya bersifat progresif, di mana mereka yang berpendapatan rendah menerima lebih banyak faedah bantuan kerajaan dari hasil GST berbanding mereka yang berpendapatan tinggi.

“Ini kerana pengecualian GST ke atas barang-barang asas memastikan mereka yang berpendapatan rendah tidak terkesan dengan pelaksanaan GST, sementara mereka yang berpendapatan lebih tinggi, akan membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka, sekaligus kutipan cukai ke atas mereka adalah lebih tinggi,” katanya dalam dalam blog NajibRazak.Com, seperti dilaporkan MalaysiaGazette, hari ini.

Selain itu, menurut Najib, hasil kerajaan yang kini disalurkan secara bersasar terus kepada golongan B40 yang lebih memerlukan seperti program BR1M untuk menangani kos sara hidup, bantuan persekolahan, bantuan kepada pesawah padi, nelayan, pekebun kecil serta pembayaran khas kepada penjawat awam bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Katanya, program bantuan bersasar itu semua tidak akan mampu dibuat jika mereka yang berpendapatan jauh lebih tinggi tidak menyumbang jumlah yang lebih besar.

“Ini bermakna meskipun golongan berpendapatan rendah turut membayar cukai GST pada kadar enam peratus, tetapi faedah dan manfaat yang diterima dari pelaksanaannya sesungguhnya berlipat kali ganda berbanding golongan berpendapatan tinggi yang lain.

“Sesungguhnya pelaksanaan GST di Malaysia sudah pun mengambil kira keadaan ekonomi rakyat, selain kerajaan hari ini yang terus berusaha menjamin kualiti hidup terbaik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");