Sukan Hari Ini

Mourinho Diminta Jawab Pertuduhan Terbaru

JOSE Mourinho telah diminta oleh FA England untuk menjelaskan komen yang dibuatnya kepada media menjelang pertembungan ‘derby’ Manchester.

Pengurus Portugis itu menyaksikan pasukan bimbingannya, Manchester United, tumpas 2-1 kepada Manchester City dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu yang dicemari oleh pergaduhan pasca perlawanan di terowong Old Trafford.

FA telah meminta kedua-dua kelab untuk memantau kejadian itu yang menyaksikan pakaian Mourinho terkena percikan susu.

Bagaimanapun, Mourinho mungkin berdepan masalah berhubung komen yang dibuatnya sebelum perlawanan apabila dia mempersoalkan pendekatan City dengan berkata: “Sedikit angin dan mereka tumbang.”

Menurut laporan Stadium Astro, dalam insiden itu, Mourinho turut membidas City kerana melakukan kekasaran taktikal untuk menyekat permainan lawan.

Kenyataan FA berbunyi: “FA telah meminta Jose Mourinho menjelaskan mengenai komennya kepada media dalam pra-perlawanan pada Jumaat lalu dan selepas menentang Manchester City, Ahad lalu (awal pagi Isnin).

“Dia mempunyai tempoh sehingga jam 6 petang, 18 Disember untuk memberi penjelasan.”

City menang menerusi gol sumbangan David Silva dan Nicolas Otamendi untuk mereka mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan kelebihan 11 mata.

Bagaimanapun, kedua-dua kelab Manchester itu mungkin menghadapi masalah dengan FA selepas kontroversi di dalam terowong di Old Trafford sehingga pemain dilaporkan saling berbalas tumbukan.

Mourinho dikatakan pergi ke bilik persalinan City kerana tidak senang dengan muzik bingit yang dimainkan bagi meraikan kemenangan pasukan bimbingan Guardiola itu.

“Satu-satunya perkara yang saya boleh katakan adalah soal perbezaan, perbezaan dalam tingkah laku, perbezaan dalam pendidikan,” kata Mourinho kepada pemberita ketika ditanya mengenai kejadian itu.

“Tiada apa-apa lagi, itu sahaja yang saya mahu katakan.”

City dan United telah diberikan tempoh sehingga jam 6 petang waktu tempatan hari ini untuk memberi penjelasan kepada FA mengenai kejadian itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");