Berita Hari Ini

Pelajar Malaysia Rangkul Anugerah Dunia

SEREMBAN – Lapan belas pelajar dari sembilan sekolah rendah dan menengah serta swasta di negeri ini yang mengikuti kursus di MyFIRST Robotics Centre, berjaya merangkul lima anugerah dalam Pertandingan Robot Pendidikan Dunia (WER) di Shanghai, China pada 18 dan 19 November lalu.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik MyFIRST Robotics Centre, Liew Kah Leong berkata, peserta dari Malaysia memenangi anugerah ‘Best Creative in Team Show’, ‘Best Creative in Video’, ‘Best Video Edition’, ‘Best Popularity’ dan juga acara berkumpulan dalam ‘Brick Robot Contest’.

“Ini merupakan penglibatan kami kali kedua bagi pertandingan WER dengan penambahan lapan peserta. Pada tahun lepas kami hanya menghantar 10 wakil untuk bertanding di lokasi sama.

“Pertandingan WER disertai oleh 500,000 peserta dari lebih 50 negara dan mereka bersaing dari segi inovasi serta kebolehan dalam menyelesaikan masalah,” katanya kepada Bernama dalam Majlis Penghargaan Peserta dan Ibu Bapa bagi WER di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua pelajar diberi masa dua bulan bagi memikirkan idea dan berbincang bersama jurulatih sebelum membina sebuah robot yang berinovasi serta mampu menyelesaikan masalah harian manusia.

“Sebagai contoh robot ‘Best Translator Buddy’ mampu menterjemah pelbagai bahasa melalui suara mahupun imbasan tulisan,” katanya.

Liew berkata peserta turut mendapat sokongan moral daripada ibu bapa yang sanggup ke Shanghai, China bagi memastikan mereka memperoleh kejayaan.

Sementara itu, perserta WER Suhaila Mohd Shukri, 16, berkata beliau sangat seronok dapat mewakili negara pada persada antarabangsa dan ini merupakan pengalaman yang cukup berharga buatnya.

“Saya sangat meminati bidang robotik ini dan saya juga mengambil aliran Mekanikal di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban, namun saya tidak menyangka bahawa saya akan dapat pergi sejauh ini sehingga mewakili negara.

“Permulaan saya mengenali ilmu robotik ini adalah pada tahun lepas ketika mengikuti ibu untuk menghantar adik ke kelas belajar robotik. Dari situlah timbulnya minat saya untuk mempelajari ilmu robot dan mekanikal dengan lebih mendalam,” katanya.

Manakala bagi pelajar SMK St Paul, Seremban, Tan Jun Kong, 16, berkata ini merupakan penyertaannya buat kali kedua dan beliau rasa sedikit yakin berdasarkan pengalamannya sebelum ini dalam pertandingan WER.

“Saya sangat gembira dan terkejut kerana tidak menyangka bahawa kumpulan kami memenangi ‘Best Video Edition’ jika hendak dibanding dengan ribuan peserta yang lain yang jauh lebih hebat dan kreatif,” katanya lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");