Sukan Hari Ini

Pemain Diharap Segera Sesuaikan Diri Bersama Marcote

PEMAIN skuad Lang Merah diharapkan dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama ketua jurulatih baharu pasukan itu Ramon Marcote Pequeno dalam usaha meraih lebih banyak kejayaan dalam saingan Liga Malaysia 2018.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Othman Aziz menerusi laporan Bernama berkata dalam memastikan pasukan itu merangkul kejuaraan dan terus disegani, kesungguhan pemain serta kerjasama berpasukan tetap ditagih meskipun mempunyai jurulatih yang hebat.

“Ada jurulatih hebat tetapi pemain tidak bersungguh pun tidak akan menjadi juga…perlu ada kerjasama serta komited dan semangat daripada semua pihak termasuk pemain, jurulatih dan pengurus KFA itu sendiri.

“Kalau pemain tidak dapat mengikut arahan dan perancangan jurulatih, ia akan menyukarkan pasukan untuk meneruskan kegemilangan pada musim 2018,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan secara simbolik kelengkapan persekolahan kepada 1,000 pelajar di kawasan Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam pada Ahad.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Marcote, 40, yang menandatangani kontrak selama setahun bagi mengemudi pasukan Kedah dalam kempen Liga Malaysia musim depan.

Marcote merupakan bekas penolong jurulatih Atletico Madrid dan pernah bersama Kedah pada 2015 sebagai jurulatih kecergasan.

Sementara itu, Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata pemilihan Marcote sebagai ketua jurulatih Kedah adalah satu langkah berani dalam usaha memastikan pasukan Lang Merah terus menjadi antara pasukan terbaik di negara ini.

Beliau berkata KFA meletakkan keyakinan penuh kepada Marcote yang dilihat mempunyai kemampuan meneruskan kegemilangan pasukan itu pada masa depan, serta mengakui kehadiran ketua jurulatih itu tidak asing lagi bagi pasukan berkenaan.

Sementara itu, pemberian kelengkapan persekolahan oleh Plus Malaysia Bhd (Plus), itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat, dan merupakan salah satu program tahunan syarikat induk Plus iaitu UEM Group Berhad yang dikenali sebagai ‘Program Kembali Ke Sekolah UEM’.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");