Jenayah

‘Pembunuhan Bermaruah’, Enam Dihukum Mati

NEW DELHI: Sebuah mahkamah di Tamil Nadu, selatan India pada Rabu menjatuhkan hukuman mati ke atas enam tertuduh, selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki dalam satu kejadian dikenali “pembunuhan bermaruah”.

“Semalam Mahkamah Daerah Tiruppur menjatuhkan hukuman mati kepada enam orang, kerana terlibat dengan pembunuhan membabitkan seorang pemuda berusia 22 tahun dari masyarakat Dalit (merujuk kepada masyarakat kasta rendah) pada tahun lepas,” kata seorang pegawai mahkamah, lapor agensi berita China Xinhua.

Jelasnya, seorang lagi tertuduh dijatuhi hukuman berganda iaitu lima tahun penjara dan penjara seumur hidup.

Mereka yang dihukum mati termasuk bapa kepada isteri mangsa dan lima rakan subahatnya manakala tiga lagi dibebaskan, termasuk ibu mertua mangsa.Isteri mangsa menyalahkan bapanya di atas pembunuhan kejam itu kerana menentang perkahwinan disebabkan perbezaan kasta.

Mangsa dikenali Shankar, dipukul hingga mati di sebatang jalan raya yang sibuk berhampiran Tiruppur. Isterinya, Kausalya yang berasal dari kasta atasan turut cedera dalam serangan itu.

Pembunuhan mengerikan yang turut dirakam kamera litar tertutup itu, menunjukkan tiga lelaki menyerang pasangan tersebut dan orang ramai sekadar menyaksikan kejadian tanpa membuat panggilan kecemasan atau cuba menghalang penyerang.

Perbezaan agama dan kasta di India dianggap sebagai tabu, terutamanya di kawasan luar bandar.Penganalisis berkata, masyarakat India sangat taksub dengan perbezaan kasta dan setiap tahun, ratusan pasangan muda di India harus berdepan sifat amarah, yang kadangkala boleh menjadi satu pembunuhan kejam jika berkahwin dengan pasangan berbeza kasta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");