Sukan Hari Ini

Perak Kenal Pasti 3 Pemain Import

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sedang mengenal pasti tiga pemain import baharu bagi memperkuatkan barisan pemain skuad The Bos Gaurus bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2018.

Menerusi laporan Bernama, Presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata bagaimanapun identiti ketiga-tiga pemain itu terpaksa dirahsiakan bagi melancarkan proses perbincangan yang kini di peringkat akhir.

“Apa yang pasti dua daripada pemain import itu akan mengisi kekosongan kuota import Asia dan Asia Tenggara. Mereka juga mungkin beraksi di bahagian tengah atau pertahanan.

“Kami juga jangkakan pada awal Januari proses berkaitan pemain import ini dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Amanat Akhir Tahun 2017 bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh hari ini.

Mengulas desas-desus mengenai Perak mengekalkan khidmat awang import, Yashir Pinto Islame, Abdul Puhat berkata perkara itu belum dimuktamadkan kerana pemain berasal dari Chile itu masih dalam proses pemulihan.

Katanya, proses pemulihan itu juga berada di bawah pengawasan PAFA memandangkan pemain itu masih mempunyai kontrak bersama Perak sehingga penghujung Disember ini.

“Kami tak boleh komen sama ada kekal atau tak. Tapi kami akan bantu dia sebab dia masih dalam kontrak. Dia juga seorang pemain yang baik, cemerlang dan tak mendatangkan masalah pada kami,” katanya.

Ditanya berkenaan venue rasmi yang bakal digunakan Perak, Abdul Puhat berkata perkara itu juga masih dalam pertimbangan, namun beliau menjangkakan Stadium Manjung atau Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut bakal menjadi pilihan.

“Stadium Manjung sedang dinaik taraf, isu sekarang tertumpu pada keadaan padang, namun kami yakin Februari ini akan siap sepenuhnya manakala TLDM tiada masalah besar cuma nak dibuat penambahbaikan pada lampu limpah dan bilik persalinan pemain,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");