Perak Hari Ini

Pernah Ke Taman Jepun Fukuoka Di Ipoh?

IPOH:Andakah anda tahu mengenai kewujudkan Taman Jepun di Bandaraya Ipoh? Taman tersebut terletak di Taman Rekreasi D.R.Seenivasagam atau Taman D.R di Ipoh, Perak.

Berkeluasan 1.2 hektar, taman ini dibina mengikut struktur lanskap yang unik sama seperti taman Jepun yang terdapat di Fukuoka.

Memasuki sahaja Taman D.R. Seenivasagam, anda dapat lihat pintu gerbang seperti reka bentuk di negara matahari terbit itu yang diukir dengan nama Fukuoka.

Difahamkan taman ini secara rasminya dibuka pada 30 Jun 1995 oleh Datuk Bandar Ipoh, Ahmad Salleh Sarif bersama dengan Datuk Bandar sebelumnya, Dato Umar Abu serta kehadiran bendahari Majlis Bandaraya Fukuoka, Watanabe yang mewakili Datuk Bandar Fukuoka.

Taman ini mendapat gelaran “Taman Mini Jepun” selepas termeterainya perjanjian di antara bandar Ipoh dan bandar Fukuoka pada 21 Mac 1989 sebagai Bandaraya Berkembar antara Jepun dan Malaysia.

Lanskap taman ini pula adalah hasil reka bentuk pegawai lanskap Majlis Bandaraya Ipoh, dengan dibantu nasihat dan kepakaran daripada Majlis Bandaraya Fukuoka.

Permandangan Yang Indah, Tenang

Susunan pohon bambu atau buluh menghiasi sekeliling taman pastinya menarik minat siapa sahaja yang berkunjung ke sini malah memberikan perasaan yang mendamaikan seolah berada di negara Jepun.

Taman Jepun ini turut dihiasi dengan beberapa ‘rock lantern’ dan ‘rock water pitcher’ manakala di sepanjang laluan pejalan kaki, dihiasi taburan batu-batu kecil dan pelbagai tumbuhan renek.

Tambah menarik taman ini turut dihiasi pokok willow dan pokok pain bagi menambahkan lagi ciri-ciri seperti di Negara Jepun serta terdapat juga kolam kecil yang dihubungkan dengan jambatan kayu berwarna merah bersama dengan sudut tempat rehat buat pengunjung.

Malah anda juga dapat saksikan kura-kura berenang-berenang bebas di dalam kolam dan ‘beristirehat’ di atas batu sekitar taman itu.

Tempat Rekreasi Keluarga, Bergambar

Dari jauh anda dapat lihat kehadiran orang ramai yang mengambil peluang bergambar juga beriadah santai di taman ini.

Anak-anak kecil begitu teruja melihat kura-kura dan melalui jambatan serta ada pula yang bergambar dengan pelbagai aksi tersendiri.

Taman Jepun ini sudah sinonim dengan pelbagai aktiviti senaman juga riadah bersama keluarga jadi tidak hairanlah ia kadang kala sesak dengan kunjungan ramai pengunjung terutama pada waktu pagi.

Taman ini juga pastinya sesuai buat anda yang tercari-cari lokasi bergambar yang menarik seperti di Jepun ditambah lagi dengan pemandangan flora dan fauna yang menenangkan hati sesiapa sahaja.

Taman Jepun Perlu ‘Dihidupkan Semula’

Namun, taman ini seolah semakin sepi dan terbiar, daun-daun kering di dalam kolam tidak dibersihkan hingga mencacatkan pemandangan sekitarnya.

Walaupun semua kemudahan dan tarikan di taman itu masih wujud tetapi kegagalan menyenggaranya dengan baik menjadikan ia kelihatan usang dan kurang menarik.

Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) disaran supaya memberi perhatian bagi ‘menghidupkan’ semula taman ini supaya terus menerima kunjungan orang ramai.

Alangkah sayangnya pemandangan indah di Jepun ini dipersiakan begitu sahaja..

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");