Sukan Hari Ini

Pilih Pemain Yang Punya Semangat Pejuang: Chong Wei

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei berpendapat faktor utama yang perlu diambil kira dalam memilih barisan pemain perseorangan lelaki bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari depan adalah mereka yang memiliki perwatakan seorang pejuang.

Jaguh perseorangan negara itu, berkata tiada guna menyenaraikan pemain yang hanya sekadar mahu menempatkan diri dalam pasukan tetapi apabila diturunkan gagal memberikan tentangan sengit kepada pihak lawan.

“Kalau setakat mahu disenaraikan dalam pasukan sahaja, lebih baik jurulatih tidak perlu pilih. Ini kejohanan besar dan sebab itu, jurulatih perlu membuat penilaian menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya bukan mahu campur tangan dalam urusan pemilihan pemain, tetapi sebagai pemain paling senior, sudah pasti saya mahu melihat semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi apabila berdepan pihak lawan.

“Menang atau kalah perkara kedua kerana yang paling penting adalah tunjukkan kita sebagai pejuang tidak mudah kalah. Tidak semestinya pemain yang mempunyai ranking yang baik mempunyai semangat juang tinggi, adakalanya sebaliknya yang berlaku,” kata Chong Wei, menerusi laporan BH Online.

Kejohanan di Alor Setar itu juga akan menjadi pusingan kelayakan bagi kempen Piala Thomas 2018 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei tahun depan.

Mengulas lanjut, Chong Wei yang juga pemain nombor dua dunia, berkata pasukan yang akan dibentuk kali ini dijangka menjadi tonggak untuk masa depan dengan rata-ratanya dibarisi pemain muda khususnya membabitkan acara perseorangan lelaki.

“Kecuali saya, pemain perseorangan lelaki yang lain hampir pasti pemain muda. Kalau berdasarkan ranking, Lee Zii Jia adalah pemain perseorangan kedua terbaik Malaysia.

“Selebihnya biarlah jurulatih yang buat keputusan. Saya fikir ada baik juga pemain muda diketengahkan kerana ia akan memberi pendedahan kepada mereka,” kata Chong Wei yang ketika ini bercuti dan hanya kembali menjalani latihan, awal tahun depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");