Berita Hari Ini

PM Najib Tiba Di Istanbul

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Istanbul malam tadi, waktu tempatan, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut laporan BH Online, ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Istanbul Ataturk, disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abdul Razak Abdul Wahab.

Perdana Menteri kemudian ke Hotel Shangri-La Bosphorus, tempat penginapan delegasi Malaysia.

Hari ini Najib bersama 57 pemimpin negara anggota OIC akan berbincang di Lutfi Kirdar Congress Center, mengenai konflik terbaharu Israel-Palestin berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel menggantikan Tel Aviv.

Antara yang dibincangkan ialah kesan daripada segi perundangan, status politik dan sejarah berikutan ‘penaklukan’ bandar suci Islam itu dan negara Palestin secara keseluruhan.

Najib yang mengetuai delegasi Malaysia dan disertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, akan menyampaikan pernyataan Malaysia berhubung isu berkenaan.

Pembabitan Malaysia dalam sidang kemuncak itu mengukuhkan lagi komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka mendapatkan hak untuk sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sidang kemuncak itu dijangka menyatakan pendirian OIC dalam Deklarasi Istanbul pada akhir sesi persidangan, petang ini waktu tempatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");