Perak Hari Ini

Projek Jambatan Ayer Tawar Manjung Dijangka Siap Tahun Hadapan

LUMUT: Projek pembinaan laluan dan jambatan yang menghubungkan Kampung Teluk dan Kampung Baru di Ayer Tawar, Manjung, dekat sini, dijangka dapat disiap sepenuhnya dan dibuka pada tahun hadapan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, projek kini sudah berada pada fasa ketiga yang mana ia melibatkan projek penyediaan kemudahan jalan raya yang menghubungkan dua kampung berkenaan, ke jalan utama.

“Ketika kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan pembinaan projek ini, ia disusuli tiga jenis pakej (fasa).

“Fasa pertama,  adalah jambatan dan seterusnya melibatkan jalan raya yang menyambungkan ke jambatan ini iaitu jalan tuju.

“Fasa ketiga, ialah projek jalan raya ke jalan utama dan untuk fasa keempat,  kita akan luluskan projek pembinaan jalan pintas ke kampung-kampung ini ,” katanya.

Tambahnya projek pembinaan jalan raya akan disegerakan selepas kerajaan negeri dapat menyelesaikan beberapa status tanah yang terlibat dalam projek ini.

Dalam pada itu, katanya, terdapat segelintir pihak yang mendakwa kononnya projek ini adalah usaha keras daripada mereka.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, namun ia secara jelas dapat dirujuk kepada pihak pembangkang.

“Saya dapat perkhabaran ada pihak tertentu yang mendakwa pembinaan jambatan di sini adalah hasil usaha mereka.

“Saya yakin,  penduduk setempat tahu dan dapat menilai sendiri bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa menitikberatkan hal-hal kebajikan rakyat yang mana projek ini sudah lama kita usahakan.

“Ini dapat diibaratkan bagai lembu punya nama, sapi dapat nama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Teluk, Ayer Tawar, Manjung, pada Khamis.

Sementara itu, Zambry turut berkesempatan meninjau tapak projek pembinaan sebuah masjid baru yang akan menggantikan masjid Kampung Teluk Nenas, yang sudah uzur.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");