Berita Hari Ini

Projek Pembangunan Tak Libatkan Taman Rimba Kiara: Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Sebarang projek pembangunan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) tidak langsung menyentuh Taman Rimba Kiara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, terdapat segelintir pihak khususnya daripada pembangkang yang cuba menjadi ‘juara’ terhadap sesuatu yang tidak diketahui kebenarannya, demi mahu menghancurkan imej kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

“Untuk pengetahuan anda, Taman Rimba Kiara tidak pernah diwartakan sebagai taman awam.

“Ia adalah untuk penggunaan ruang terbuka yang bersaiz 13.3 ekar.

“Pembangunan ini langsung tidak melibatkan kawasan 13.3 ekar ini.

“Terdapat kawasan yang diwartakan di Bukit Kiara oleh Jabatan Landskap Negara pada 3 April 2013 untuk Taman Awam Berskala Besar dan tanah ini dipisahkan dari Taman Rimba Kiara,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Tambah beliau, kementerianya telah mengadakan perbincangan dengan penduduk pada 20 Julai dan 3 Ogos tahun ini bagi menjelaskan bahawa pembangunan tersebut langsung tidak membabitkan Taman Rimba Kiara.

Selain itu, Tengku Adnan menjelaskan bahawa segala aduan penduduk setempat telah didengar sebelum projek tersebut diluluskan.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek pembangunan perumahan itu adalah bagi menyelesaikan masalah penduduk yang tinggal di rumah-rumah panjang sejak 30 tahun lalu.

“Orang ini adalah pekerja ladang di kawasan ini sebelum kerajaan melihat tanah ini untuk pembangunan perbandaran baru yang dikenali sebagai Taman Tun Dr Ismail, dengan berjanji bahawa mereka akan diberikan perumahan baru di kawasan yang sama,” jelasnya.

Selain itu, Tengku Adnan berkata pangsapuri untuk 100 peneroka asal, yang berukuran 850 kaki persegi, akan diberikan kepada mereka secara percuma.

Manakala, pangsapuri untuk anak-anak peneroka, akan dijual kepada mereka pada harga RM175,000 seunit dan baki unit tersebut akan dijual kepada orang awam tidak lebih daripada RM300,000 seunit.

Dalam kenyataannya juga ada menyebut bahawa pemaju juga telah diarahkan untuk membina kawasan tempat letak kereta untuk pengunjung Taman Rimba, manakala jalan masuk dan keluar kawasan itu aman menggunakan pintu masuk Jalan Damansara.

Tambahnya, pembangunan baru itu tidak akan dibenarkan untuk menggunakan Jalan Wan Kadir 1 dan Jalan Datuk Sulaiman.

Katanya, jalan tersebut hanya untuk penduduk projek perumahan mampu milik serta pelawat kuil.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");