Jenayah

Pusat Jagaan Orang Tua Dipercayai Tiada Permit- MPKj

KAJANG – Rumah banglo dua tingkat yang menjadi pusat jagaan orang tua di Sungai Long, Kajang, yang terbakar, pagi tadi dipercayai tidak memiliki permit daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Ahli Majlis MPKj, Lai Wa Chong berkata, pihaknya telah melakukan semakan rekod dan mendapati pemilik pusat jagaan terbabit dipercayai tidak pernah memohon permit untuk menjalankan operasi.

“Sebuah pusat jagaan orang tua swasta memerlukan permit untuk beroperasi. Bagaimanapun, pihak kami tidak menerima sebarang permohonan daripada pemilik pusat jagaan terbabit.

“Setakat ini, kami masih menunggu rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sama ada pemilik pusat jagaan itu ada merujuk perkara terbabit kepada JKM,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, berdasarkan maklumat awal, pemilik pusat jagaan itu dipercayai warga Pakistan.

“Kami sedang menyiasat sama ada premis ini diberi kebenaran untuk beroperasi daripada JKM atau pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Forensik polis dan bomba masih menyiasat punca kejadian yang bermula dari tingkat bawah rumah banglo dua tingkat berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal diperolehi kami mendapati pusat jagaan itu sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dan disewa dengan harga RM6,000 sebulan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");