Berita Hari Ini

Rancangan Iktiraf Baitulmuqaddis Ibu Negara Israel Gagal Jika Dunia Bersatu – PM Najib

KUALA LUMPUR: Rancangan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel akan gagal jika dunia bersatu padu menentang tindakan Amerika Syarikat itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kalau dunia bersatu hati, (ia) akan membawa harapan (untuk) menggagalkan cadangan Amerika Syarikat menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel,” kata Presiden UMNO itu ketika melawat Laman Media bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, menerusi laporan Bernama.

Semasa menyampaikan ucapan dasar presiden pada perhimpunan agung itu semalam, Najib berkata Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan itu malah yakin dan percaya umat Islam tidak dapat menerima sampai bila-bila cadangan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis, iaitu satu daripada tiga kota suci umat Islam, sebagai ibu negara Israel.

Najib berkata bantahan itu bukan sahaja disuarakan Malaysia malah turut ditempelak oleh negara-negara lain.

Perdana menteri berkata ini dapat dilihat apabila pemimpin luar seperti Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menghubunginya sendiri untuk berkongsi kebimbangan berhubung perkara itu.

“Beliau antara pemimpin dunia yang pertama hubungi saya. Apa yang kami bincangkan itu, akan saya ulas dalam ucapan penggulungan dan penangguhan saya esok kerana ada beberapa syor (antara kami) telah dikemukakan,” katanya.

Najib berkata Erdogan turut menjemput Malaysia ke sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkaitan isu global itu di Istanbul pada 13 Dis ini dalam menunjukkan solidariti bantahan bersama-sama negara Islam lain.

“Saya akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai sidang itu. Erdogan ingin Malaysia hadir. Jemputan ini membuktikan peranan Malaysia dalam isu-isu besar ini sangat dihargai.

“Sebagai sebuah negara Islam, adalah sangat penting untuk kita libatkan diri dalam apa juga tindakan bagi menyelamatkan Baitulmuqqadis,” tegas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");