Jenayah

Rasuah: Bekas Inspektor Polis Dipenjara 6 Bulan

KOTA BHARU:  Seorang bekas inspektor polis dihukum penjara enam bulan dan denda RM135,000 oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam, kerana menerima rasuah dari seorang kontraktor.

Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Kavikumar Perumal, 27, mengaku salah menerima rasuah berjumlah RM25,000 pada November 2015.

Tertuduh didakwa menerima suapan tersebut sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan terhadap pengadu, Mahadi Mohamad Nor kerana didakwa memiliki kenderaan jenis pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dipercayai dicuri.

Tertuduh didakwa menerima RM15,000 daripada pengadu di alamat Kampung Benggol Ubi Keling, Gual Periuk, Rantau Panjang, Pasir Mas, pada jam 5 petang, 22 November 2015, manakala RM10,000 lagi diperoleh pada jam 5.30 petang, 24 November 2015 di alamat sama.

Kedua-dua dakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kelantan, Shahidah Muslimah Roslan dan tertuduh baharu melantik peguam, Siti Syaerah Meor Zul-kefli Auni mewakilinya.

Shahidah Muslimah pula mencadangkan satu hukuman yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

“Saya juga memohon mahkamah menyerahkan semula Pajero berkenaan kepada pemiliknya kerana pengadu membelinya daripada orang lain dan semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan mendapati nombor casisnya sama serta tiada laporan kecurian,” katanya, menerusi laporan Sinar Online.

Bazli kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM60,000 serta penjara enam bulan dan denda RM75,000, berkuat kuasa serentak dari tarikh jatuh hukum.

Tertuduh juga diarah menjalani hukuman penjara tambahan masing-masing dalam tempoh lima bulan penjara sekiranya denda itu gagal dijelaskan selain mengarahkan kenderaan itu diserahkan semula kepada pemiliknya.

Sebelum ini, pada 6 November lalu, Kavikumar dihukum penjara selama tiga tahun dan denda RM15,000 oleh Hakim, Adli Abd Ghalib di mahkamah sesyen, di sini, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada Mohd Zulhafizi Wan Mohd Zulkefly, di Jalan Bukit Bakar, Machang, pada jam 6 petang, 13 Januari 2015 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan rogol

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");