Perak Hari Ini

Rentasi “Sungai Atas Sungai” Di Selama

SELAMA:Ada satu ungkapan peribahasa Melayu yang sering disebut oleh kita, iaitu tidak kenal maka tidak cinta.

Begitulah keadaan saya ketika mula-mula menjejakkan kaki ke Kampung Ijok dan Kampung Redang Panjang yang terletak kira-kira 18 kilometer dari Pekan Selama.

Siapa sangka Selama yang terletak dalam Parlimen Larut sebenarnya menyimpan 1,001 keunikan tersendiri serta berpotensi dijadikan tarikan utama pelancong ke Perak iaitu berkaitan dengan Lata dan air terjun.

Bagi penulisan kali ini, Peraktoday ingin menyingkap salah satu keunikan sungai yang terdapat di Redang Panjang di sini.

Secara logiknya, sungai pastinya akan bercantum semula bukan? tapi berbeza di salah satu sungai di Selama dekat sini merupakan satu terusan air yang mengalir di bawah sebatang sungai iaitu “Sungai Atas Sungai”

“Sungai Atas Sungai” merupakan terusan air yang dilencongkan daripada Sungai Ijok dan merentasi Sungai Redang Panjang yang mengalir di bawahnya.

Sampai sahaja menjejak kaki ke lokasi itu anda akan dapat lihat dan melalui sebuah jambatan yang dibina pada tahun 1936 merentasi terusan tersebut dan masih kukuh sehingga kini.

Difahamkan terusan air yang dilencongkan dari Sungai Ijok itu sebenarnya cukup unik kerana dibina pada paras ketinggian tertentu merentasi Sungai Redang Panjang yang me­ngalir di bawahnya, justeru dipanggil sebagai ‘sungai atas sungai’.

Berdiri di atas jambatan itu kelihatan air dari terusan mengalir melaluinya dan sama sekali tidak bercantum dengan sungai Redang dibawah jambatan itu.

Jambatan itu juga digunakan sebagai laluan motosikal oleh penduduk kampung dan jika anda kreatif mungkin sesuai untuk ‘selfie’ dan bergambar ‘hispter’ zaman ini.

Keunikan tersebut merupakan salah satu pe­ninggalan teknologi British dalam pengairan melibatkan terusan sepanjang kira-kira lima kilometer yang masih beroperasi dan boleh anda lihat sehingga ke hari ini.

Jadi jika berminat melihat sendiri sejarah peninggalan ini, selain menghirup udara segar kampung anda harus berkunjung ke Selama, jangan khuatir pastinya anda tidak akan sesat kerana setiap lokasi dilengkapi penanda arah, seperti papan tanda untuk ke setiap lata dan air terjunnya.

Orang kampung juga ramah-tamah, jadi apa salahnya kita berubah angin mengenali sejarah dan keunikan negeri sendiri tidak salah bukan?

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");