Jenayah

Rugi RM500 Kerana Diugut Penarik Kereta Palsu

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita kerugian RM500 selepas menjadi mangsa pemerasan ‘penarik kereta palsu’, dalam kejadian di kawasan Manir, di sini, petang Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa berusia 42 tahun yang memandu sebuah kereta jenis BMW memberhentikan kenderaan mewahnya itu di kawasan tempat menjual kuih di Manir, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, bagaimanapun, hajatnya untuk membeli kuih terbantut apabila didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira.

Katanya, selepas memperkenalkan diri sebagai penarik kereta, ketiga-tiga suspek bertindak mengambil kunci kereta milik mangsa sebelum meminta wang RM2,000 selain memberitahu yang ingin menarik kenderaan terbabit.

“Meskipun dalam ketakutan, mangsa memberanikan diri tidak membenarkan tindakan ketiga-tiga suspek itu yang ingin mengambil keretanya kerana yakin dia tidak pernah ada tunggakan bayaran daripada pihak bank.

“Selain itu, mangsa merasa ragu dengan identiti ketiga-tiga individu tersebut kerana langsung tidak menunjukkan apa-apa surat daripada bank selepas diminta dan turut menjelaskan yang dia tidak pernah sesekali menerima surat tarik daripada pihak bank sebelum ini,” katanya, menerusi laporan Sinar Online.

Idris berkata, mangsa meminta jasa baik lelaki tersebut memberi peluang kepadanya untuk berhubung sendiri dengan pihak bank sebelum dua di antara individu terbabit memegang mangsa secara kasar.

“Mangsa seterusnya dibawa ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran sebelum terpaksa mengeluarkan RM500 dan diserahkan kepada salah seorang daripada mereka.

“Masih tidak berpuas hati dengan bayaran diberikan, suspek memaksa mangsa menyelesaikan baki wang diminta dalam tempoh terdekat sebelum melarikan diri,” katanya.

Jelasnya lagi, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Manir, di sini, dua lelaki tempatan berusia 36 tahun dan 48 tahun ditahan Jumaat lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");