Jenayah

Scammer Perdaya Ahli Perniagaan, RM90,000 Lesap

KLANG – Seorang ahli perniagaan kerugian RM90,000 selepas ditipu sekumpulan lelaki dan wanita disyaki ‘scammer’ yang menyamar sebagai pegawai bank dan juga polis.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang berusia 44 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai dari sebuah bank terkenal pada Khamis lalu.

“Lelaki tersebut memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman berjumlah RM3,376 yang dibuat di sebuah bank di Ipoh, Perak.

“Mangsa menafikan perkara itu bagaimanapun lelaki tersebut cuba memperdaya mangsa dengan berpura-pura membuat sambungan talian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” katanya memetik sumber laporan Sinar Harian.

Menurutnya, panggilan mangsa telah disambungkan kepada seorang wanita yang mengaku sebagai polis berpangkat sarjan.

“Sarjan berkenaan memaklumkan mangsa disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang bersama seorang lelaki lain dan dia dikehendaki polis untuk siasatan.

“Mangsa turut menafikan penglibatan dirinya dalam kes itu menyebabkan sarjan itu kemudiannya menyambungkan talian kepada seorang lelaki yang turut mengaku dirinya polis berpangkat inspektor,” katanya.

Menurutnya, ketika bercakap dengan inspektor itu, mangsa telah diugut akan ditangkap atas kesalahan yang sama dan wang milik syarikatnya akan dipindahkan ke Jabatan Audit Negara sekaligus menyebabkan mangsa ketakutan.

“Khuatir dikenakan sebarang tindakan, mangsa kemudiannya mendedahkan maklumat akaun beserta ‘username’ dan ‘password online banking’ kepada inspektor itu sebelum talian ditamatkan.

“Perkara itu akhirnya terbongkar selepas mangsa tidak sedap hati dan cuba bertanya kepada jirannya yang bertugas sebagai polis,” katanya.

Katanya lagi, selepas mangsa membuat semakan, sudah berlaku sembilan transaksi oleh pihak tidak bertanggungjawab itu melalui akaun milik mangsa secara atas talian.

“Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");