Berita Hari Ini

Senator Wanita Ditambah, Jika BN Menang Besar Pada PRU14 – PM Najib

KUALA LUMPUR: Jumlah senator wanita akan ditambah demi menyahut hasrat kerajaan menambah bilangan golongan itu dalam arena politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu akan menjadi kenyataan jika Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, situasi itu menunjukkan proses politik lebih inklusif dan mengukuhkan sistem demokrasi negara.

“Kita boleh cadang menambah kuota di Dewan Negara, iaitu kita perlu ada sekurang-kurangnya 30 peratus senator wanita. Saya berasa amat gembira jika hasrat ini dapat dijayakan.

“Itulah sebabnya saya berharap kita mendapat mandat yang kuat dalam pilihan raya akan datang.

“Kita boleh mulakan lebih ramai wanita dilantik sebagai senator dan mereka akan menunjukkan kemahiran kepemimpinan di Dewan Negara,” katanya memetik sumber Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 Wanita Dalam Politik (WIPKL 2017) bertema Wanita & Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Kepemimpinan dan Kesaksamaan Hakiki di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tan Sri Aishah Ghani menjadi senator pertama wanita pada 1962 manakala anggota Kabinet pertama wanita ialah Tun Fatimah Hashim pada tahun 1969.

Tokoh wanita lain yang pernah dan kini berada dalam Kabinet termasuk Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Napsiah Omar, Tan Sri Zaleha Ismail, Tan Sri Dr. Ng Yen Yen, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada majlis sama, turut dilancarkan buku yang menghimpunkan sejarah perjuangan selama lebih 60 tahun Pergerakan Wanita UMNO, Srikandi Negara edisi ketiga berjudul Ibu Terbaik Bangsa.

Ia dilancarkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama-sama edisi kedua buku Srikandi Negara Dari Sayap Kepada Tulang Belakang yang diterbitkan pada 2015.

Dalam pada itu kata Najib, kerajaan berharap lebih ramai usahawan wanita daripada semua peringkat generasi tampil bagi memenuhi wawasan kerajaan dalam IR4.0.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");