Isu Panas

Sultan Selangor Sifatkan Mahathir Amat Berbahaya

MURKA… Sultan Selangor bersuara lagi mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia lanjutan daripada isu kebiadaban bekas Perdana Menteri itu hina menggelar etnik Bugis sebagai ‘lanun’.

Bahkan beliau sehingga hari ini belum memohon maaf kepada baginda setelah istana mengeluarkan kenyataan menerusi Dewan Diraja Selangor pada 2 November lalu meminta Mahathir agar disiasat mengikut Akta Hasutan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pada itu turut menyifatkan Mahathir ialah jenis pemimpin tegar yang tidak akan membenarkan orang lain untuk cuba berusaha membuat sesuatu perkara lebih baik daripada dirinya.

“Beliau ada inferiority complex (perasaan rendah diri) dan tahap kebencian dalam dirinya. Beliau cuma marah (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) tetapi kemarahannya ‘bakar’ seluruh negara,” titah baginda.

Sultan Selangor itu bertitah demikian secara terbuka dalam sesi wawancara khas kepada wartawan akhbar berbahasa Inggeris popular tempatan, The Star yang disiarkan secara eksklusif pada keluaran Ahad lalu.

Menurut baginda, Mahathir memerintah Malaysia selama 22 tahun tetapi bukan secara bersendirian kerana beliau disokong oleh parti keramat umat Melayu terbesar yang berdiri teguh di belakangnya dalam apa jua situasi genting.

“Bagi Mahathir sendiri, beliau cuba mahu memusnahkan segala asas kukuh yang pernah dahulu menyokongnya dan situasi tersebut kini menjadikan beliau sebagai seorang yang sangat berbahaya,” titah baginda lagi.

Ditanya sama ada raja-raja membalas dendam kerana langkah Mahathir sekat kuasa sultan pada 1980-an, baginda jawab, “Tidak… Kami tidak percaya pada dendam. Tuhan Maha Besar. Dia akan tunjuk balik kepada rakyat.

“Dulu bapa saya beritahu saya… Hari ini harinya… Esok hari kita pula.” Sultan Selangor itu turut mengimbas kembali bahawa Mahathir mendakwa konon terlalu banyak wang dibelanjakan untuk menampung hidup raja.

Sebaliknya baginda bertanya: “Bagaimana tentang kerugian akibat skandal forex (tukaran mata wang asing dilakukan oleh Bank Negara Malaysia pada awal dekad 1990-an lalu). Jumlahnya jauh lebih banyak lagi.”

Baginda dipercayai merujuk kepada urus niaga rahsia dilakukan bank pusat tersebut dan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengumumkan kes itu mengakibatkan negara mengalami kerugian RM31.5 bilion antara 1992 hingga 1994.

Mengenai isu panas ‘Bugis lanun’ yang diucapkan Mahathir ketika himpunan haram pada 14 Oktober lalu, Sultan Selangor menafikan sengaja buat teguran kerana dipengaruhi oleh mereka yang kebetulan anti kepada beliau.

Bekas perdana menteri dan kini menjadi Pengerusi Pakatan Harapan itu membuat kenyataan celupar berkenaan dalam perhimpunan Hapuskan Kleptokrasi yang hambar anjuran pembangkang di Padang Timur, Petaling Jaya.

Selain Sultan Selangor, turut sama melahirkan perasaan terguris mengenai gelaran buruk itu ialah Sultan Johor. Kedua-duanya berdarah Bugis, masyarakat pribumi yang berasal dari Wilayah Sulawesi, Indonesia pada hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa baginda hanya membangkitkan hal itu tiga minggu kemudian setelah bercakap dengan beberapa orang untuk tahu apa sebenarnya terjadi semasa program tanpa permit polis tersebut.

Baginda bahkan memaklumkan hanya tahu pun mengenai hal kontroversi ucapan kurang ajar Mahathir tersebut kebetulan semasa baru hendak berangkat pergi menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci pada akhir Oktober lalu.

“Saya tidak bertindak secara membabi buta… Saya tunggu hingga balik dan bercakap dengan sebilangan orang yang ada di situ untuk tahu apakah sebenarnya terjadi. Saya cuma cakap selepas itu,” titah baginda dalam nada kesal.

Menurut baginda, kes panas itu tidak harus berlaku kerana ia boleh cetus kebencian dalam kalangan rakyat. Ditanya apakah Mahathir sudah mohon maaf, baginda jawab “beliau tidak mohon maaf.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");