Jenayah

Terlalu Awal Untuk Namakan Siapa Akan Dipanggil – KPN

KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk menamakan siapa individu yang akan dipanggil memberi keterangan berhubung kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya baru saja memulakan siasatan menerusi pasukan khas yang ditubuhkan; diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Amar Singh Ishar Singh sejurus menerima laporan kes itu, pada Khamis lalu.

Katanya, siasatan mungkin mengambil masa lama berikutan perlu menyemak serta meneliti laporan yang diserahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kemungkinan wujud kesalahan pecah amanah atau penipuan ketika urus niaga itu dilakukan sekitar tahun 1990-an.

“Tiada tempoh masa ditetapkan (bagi melengkapkan siasatan)…jika ramai saksi terbabit sudah tentu masa yang kita perlukan tu panjang.

“Tetapi, sekiranya yang dipanggil ini jumlah tidak ramai mungkin siasatan boleh diselesaikan awal.

“Jangan sebut si polan si polan (yang akan dipanggil)…Saya rasa tak kena. Beri peluang kepada kita, kita akan siasat kes ini seadil-adilnya,” katanya ketika hadir pada Kejohanan Tenis dan Silat Piala Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), menerusi laporan BH Online

Mohamad Fuzi berkata, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Khamis lalu, RCI Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh BNM sekitar tahun 1990-an diwakili Setiausahanya, Datuk Dr Yusof Ismail membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi meminta siasatan rasmi dilakukan atas kesalahan pecah amanah, jenayah atau penipuan serta lain-lain kesalahan yang mungkin dilakukan pegawai BNM), Lembaga Pengarah BNM, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dalam pelaksanaan aktiviti spekulatif pertukaran mata wang asing dan pelaporan kerugian yang dialami BNM sekitar tahun 1990-an.

Laporan setebal lebih 400 muka surat yang dibentangkan di Parlimen pada hari sama turut diserahkan kepada polis.

Menurut laporan itu, wujud asas untuk mengesyorkan PDRM melaksanakan siasatan rasmi kemungkinan berlaku kesalahan pecah amanah dan penipuan dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika urus niaga mata wang asing (forex) sekitar tahun 1990-an.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");