Sukan Hari Ini

Thanabalan Enggan Berasa Selesa Dalam Skuad B-22

PETALING JAYA – Penyerang Negeri Sembilan, N. Thanabalan tidak mahu berasa terlalu selesa dengan kedudukannya dalam skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan yang akan ke China bagi menghadapi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018, Januari depan.

Sebaliknya, pemain yang pernah menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu, mengakui sedikit tergugat dengan kehadiran beberapa muka baharu daripada skuad Bawah 19 Tahun (B-19) yang dipanggil menyertai kem latihan pusat sejak Isnin lepas.

Beliau berkata kesemua 29 pemain hadir ke kem latihan pusat, yang juga merupakan pentas pemilihan skuad ke China, mempunyai peluang sama rata dan mereka menunjukkan kesungguhan tinggi bagi merebut tempat dalam pasukan.

“Jangan fikir mereka (pemain muda) tidak boleh bermain, mereka memang bagus dan persaingan itu saya lihat sesuatu yang sangat berharga bukan untuk diri saya sahaja tetapi semua pemain senior di dalam pasukan untuk kami meningkatkan lagi prestasi.

“Perasaan tergugat itu memang ada kerana ramai pemain boleh bermain di posisi saya sebagai penyerang tetapi itu tidak menjadi masalah kepada saya. Saya hanya perlu bekerja keras dalam latihan dan cuba elak daripada kecederaan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pusat skuad B-22 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai pasukan Negeri Sembilan yang akan beraksi dalam Liga Super 2018, Thanabalan berazam memberi yang terbaik dalam membantu negeri kelahirannya itu mengharungi saingan musim depan yang lebih mencabar.

“Saya amat gembira dan menganggap ia satu rezeki. Kalau orang sudah beri kita peluang, kita tidak akan mensia-siakan peluang tersebut. Saya akan cuba memberi yang terbaik pada setiap perlawanan jika diturunkan,” katanya.

Semalam, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengumumkan Negeri Sembilan dan PKNP FC yang beraksi dalam Liga Perdana musim ini, dinaikkan ke saingan Liga Super 2018 bagi menggantikan Felda United dan Terengganu II yang diturunkan ke Liga Perdana musim depan. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");