Membawang Hari Ini

Triple-T Dakwa Tidak Berniat Guna Nama Amy Search

“KAMI ingin menjelaskan bahawa pihak syarikat tidak terlibat langsung dalam pengambilan gambar dan juga penggunaan gambar itu,” kata peguambela dan peguamcara, Shahrulazwad Ismail.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan vokalis Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 58, yang menyeru supaya pengasas atau pemilik produk kesihatan menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu menggunakan nama artis.

Seruan itu dibuat selepas ada pihak mengambil kesempatan menggunakan gambarnya untuk mempromosikan produk tanpa kebenaran.

Menurut Shahrulazwad, syarikat tidak pernah merancang untuk melantik apatah lagi menipu atau memperdaya Amy Search bagi tujuan ‘endorsement’.

“Pihak syarikat hanya mengetahui isu ini selepas gambar berkenaan dipaparkan di akaun Instagram Amy Search yang kemudian disebarkan media.

“Gambar yang jelas menunjukkan produk Triple-T dengan tulisan ‘penipuan’ telah menimbulkan prasangka buruk di kalangan masyarakat yang mengenali produk kami,” katanya dalam sidang media di Dynasty Hotel, di sini, seperti dilaporkan Sinar Online hari ini.

Tambahnya, perkara itu telah menimbulkan reaksi dan prasangka buruk di Instagram penyanyi terbabit termasuk daripada kalangan artis sendiri seperti Nizam Laksamana dan Siti Sarah yang mengaitkan isu ini dengan pengalaman masing-masing walaupun tiada kaitan dengan pihaknya.

Katanya lagi, ini sekali gus telah menjejaskan reputasi syarikat selaku pengeluar produk.

Jelasnya, setelah disiasat, ia adalah perbuatan salah seorang penjual (agen) produk Triple-T dan menurut penjual berkenaan, dia telah berurusan dengan orang tengah yang menghasilkan gambar tersebut.

“Gambar yang menunjukkan Amy Search memegang Triple-T kemudian telah diletakkan watermark nama dan nombor telefon penjual berkenaan. Bagaimanapun, gambar itu telah dipadamkan oleh agen berkenaan setelah dihubungi pengurusan Amy.

“Kita telah memberi amaran dan menegur agen terbabit yang kini dalam pemerhatian syarikat,” katanya.

Justeru, pihak syarikat melahirkan rasa kesal dan salah faham yang berlaku dan diharap penjelasan ini dapat menghentikan prasangka buruk yang cuba mengaitkan produk Triple-T dengan aktiviti penipuan.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");