Jenayah

Tunggang Motosikal Melawan Arus, Dua Remaja Maut Dirempuh

KANGAR: Dua remaja lelaki maut dirempuh sebuah kereta ketika menunggang motosikal secara melawan arus di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis berhampiran jambatan Utan Aji dekat sini, malam tadi.

Mangsa, Muhammad Danial Syukur Yusri, 13, dan Muhammad Alif Asyraf Sebdil, 16, maut di tempat kejadian selepas dipercayai tercampak ke atas jalan, manakala kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki terbabas ke dalam parit lapor Bernama.

Difahamkan sebelum kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran kawasan berkenaan.

Kedua-dua jenazah mangsa serta pemandu dan penumpang kereta yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perlis DSP Rusli Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Dalam perkembangan lain beliau berkata 37 motosikal disita dan 200 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas sempena musim cuti sekolah melibatkan 170 penunggang di Jalan Pesisir Pantai, Kuala Perlis dekat sini malam tadi.

Rusli berkata dalam operasi yang bermula 6.30 petang hingga 12 tengah malam itu, mereka yang ditahan berumur 14 hingga 21 tahun dan kebanyakannya merupakan pelajar sekolah.

Dua penunggang berumur 18 dan 21 tahun ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara berbahaya dan melulu di jalan raya, katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");