Berita Hari Ini

Ugutan Amerika Syarikat Tidak Menjejaskan Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan terjejas dengan ugutan yang dibuat Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan bantuan kepada negara-negara yang menentang hasrat menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana Malaysia tidak disifatkan sebagai penerima bantuan penuh daripada AS tetapi sebaliknya merupakan antara pihak yang sering meng­hulurkan pertolongan kepada negara-negara luar yang memerlukan.

Zahid Hamidi juga yakin isu Baitulmuqaddis tidak akan merencatkan hubungan antara Malaysia dan AS terutama dalam soal ke­selamatan, ketenteraan dan perdagangan kerana kedua-dua negara cukup matang untuk membezakan kepentingan setiap hubungan yang dijalinkan.

“Malaysia tidak banyak bantuan yang diterima daripada AS. Kita bukan hanya negara penerima, kita juga adalah negara pemberi bantuan.

“Apapun hubungan pertahanan, keselamatan dan perdagangan pada hemat saya harus diasingkan sepenuhnya daripada isu Baitulmuqaddis,” katanya kepada pemberita semasa melawat kilang syarikat milik Datasonic Group Berhad di sini hari ini.

Beliau mengulas amaran oleh wakil AS di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, untuk mengenal pasti negara-negara yang menentang cadangan AS untuk memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Beberapa media antarabangsa melaporkan kenyataan Haley itu seterusnya mendapat respons Presiden AS, Donald Trump yang seakan-akan mengugut untuk menghentikan bantuan kepada negara-negara yang menentang usaha mereka.

Di samping itu, Ahmad Zahid berkata, pendirian Malaysia tidak akan terus menyokong hak Palestin terhadap Baitulmuqaddis serta penolakan pemindahan ibu negara Israel ke kota suci tersebut mengikut penegasan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada minggu lalu.

“Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Seri Mohd. Shahrul Ikram Yaakob akan menyatakan pendirian tegas Malaysia dalam perkara ini dan tidak berganjak sepertimana yang diperkatakan oleh Perdana Menteri.

“Kita harus bezakan hubungan diplomatik dalam hal ini kerana persoalan Baitulmuqaddis ini terlalu spesifik dan kita memahami pihak AS cukup bijak untuk me­ngasingkan isu ini dengan perkara lain,” katanya.

– UTUSAN ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");