Membawang Hari Ini

UNIC: Perlu Akur Kuasa Media Sosial

SELARI peredaran zaman, kumpulan nasyid popular, UNIC mengakui perlu akur untuk menguasai media sosial supaya tidak terus ketinggalan.

Malah, kumpulan yang dianggotai Bazli Hazwan, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin dan Wan Najdi Wan Mohd Noh ini menyifatkan media sosial adalah ‘resume’ untuk artis atau selebriti.

Mewakili kumpulannya, Mohd Fakhrul Radhi berkata, UNIC dunia kini bergerak tanpa sempadan dan cukup luas.

Justeru, mereka perlu bergerak ke arah itu dan terus mengumpul dan meluaskan follower yang menjadi kekuatan UNIC.

Yakin dengan kuasa media sosial, katanya, UNIC turut mempertaruhkan pertandingan nyanyian, UNIC Got Starz Asean melalui YouTube bertujuan mencari bakat baru yang berpotensi besar dalam industri nasyid.

“Alhamdulillah, walaupun baru diperkenalkan, kita menerima lebih 400 video penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand. Jujurnya, kita sangat teruja kerana mendapat sambutan di luar jangkaan dari negara Asean yang lain,” katanya.

Jelasnya, daripada 400 video penyertaan, hanya 30 disenarai pendek sebelum memilih tujuh yang akan ke pentas akhir, selepas melalui tiga peringkat berbeza.

“Tujuh peserta yang layak ialah Umar, Marhaen dan Lebeyunik (Malaysia); Annajwan (Brunei Darussalam); Faruddeen dan Harmoni (Thailand) dan Azwan (Indonesia). Untuk final, tujuh peserta ini akan bertanding di atas satu pentas yang sama sambil diiringi muzik live,” katanya.

Katanya, pentas akhir bakal berlangsung di Masjid Puncak Alam, Bandar Puncak Alam 30 Disember depan.

“Bagi juara, mereka bukan sahaja memenangi wang tunai RM5,000 tetapi kita juga akan menerbitkan single mereka,” katanya.

Terbit single baru

Bukan itu sahaja, akur dengan kehendak sosial media juga, UNIC turut berkolaborasi dengan rapper popular, Caprice menerbitkan single terbaru, Sedar.

Katanya, Sedar tidak hanya mendapat sentuhan Caprice tetapi juga buah tangan terbaru daripada Omar K dan Ikhwan Fatana.

“Kerjasama ini satu kebetulan dan rezeki. Lagipun, kita pernah berkolaborasi menerusi penubuhan aplikasi, mengaji.com, sebelum ini. Kita juga lihat dia merupakan salah satu pengaruh media sosial yang cukup hebat apa lagi jumlah followernya terlalu ramai.

“Lagi satu, kita juga sebenarnya mahu keluar daripada konsep nasyid itu sendiri dan kebetulan rap untuk bahagian lirik dibuat sendiri olehnya. Sedar taruhan berani UNIC kerana lagu itu lebih segar, mempunyai double meaning sekali gus menepati cita rasa pendengar hari ini.

Menurut Mohd Fakhrul Radhi, rakaman lagu bermula Ogos lalu dan mengambil sedikit masa untuk membaiki lirik dan jalan cerita yang dikehendaki.

“Lagi pula, ini pertama kali kita bekerja dengan komposer luar yang bukan nasyid dan kita juga seronok bekerja dengan orang baru.

“Kita harapkan pemilihan ini tepat dan diterima ramai bukan saja buat pendengar nasyid tetapi juga pendengar baru daripada segenap lapisan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, UNIC bakal ke Syria bagi menyertai misi kemanusiaan Winter Survival Aid bersama Muslim Care pada 10 hingga 16 Disember depan.

UNIC juga baru dilantik sebagai duta produk Ellhaj selama setahun.

“Kita anggap pelawaan ini sebagai satu kerjasama tepat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");