Sukan Hari Ini

Untung Rugi KL2017, Para KL2017 Dalam Tempoh Setahun

KUALA LUMPUR: Sama ada negara meraih keuntungan atau tidak daripada penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), hanya akan diketahui dalam tempoh setahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, akaun untuk penganjuran kedua-dua temasya itu yang dianjurkan pada Ogos dan September lalu belum boleh ditutup kerana perlu melalui pelbagai proses terlebih dulu.

“Proses ini membabitkan pelbagai dan kita bukan hanya menutup akaun saja. Ia membabitkan dari segi pembayaran, aset, pengumpulan aset, pendigitalan segala rekod dan sebagainya,” katanya.

Bercakap ketika ditemui di Majlis Penutup Kem Bakat Badminton KBS 2017 di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan hari ini, Lokman berkata akaun kedua-dua temasya itu hanya ditutup selepas setahun penganjurannya iaitu pada Ogos atau September tahun depan.

“Pelbagai lagi perkara perlu diambil kira termasuk dari segi duit penajaan. Mengenai kontraktor pula kebanyakan pembayaran sudah dibuat. Perkara ini juga membabitkan perjanjian dalam kontrak mengenai skop pekerjaan yang mereka lakukan.

“Dalam kontrak, jadual pembayaran kepada kontraktor dibuat selaras dengan menepati skop kerja yang diselesaikan. Ia berkaitan perkhidmatan dan bekalan yang dilaksanakan sepenuhnya bersama semua maklumat yang lengkap diserahkan kepada KBS,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Lokman berkata, kontraktor yang menyerahkan maklumat lengkap seperti contoh invois dan dokumen sokongan, pembayaran kepada mereka akan terus dilaksanakan.

“Ada juga kontraktor yang di peringkat ketiga, keempat dan kelima pembayaran masih belum diselesaikan kerana tuntutan belum sampai kepada KBS serta tidak lengkap bersama dokumen. Mengikut kontrak perjanjian, manfaat perlu diambil kira kepada KBS kerana tidak mahu wujudnya kerugian kepada kerajaan.

“Saya ingin menekankan bagi isu yang diketengahkan dalam media sosial mengenai pembayaran kepada artis, kerajaan melalui KBS sebelum ini melantik satu syarikat bagi mengendalikan persembahan pembukaan, penutup Sukan SEA dan Para ASEAN.

“Syarikat ini sudah menandatangani perjanjian dengan KBS bahawa mereka akan menguruskan segala program membabitkan artis. Jadi, perjanjian artis adalah bersama syarikat yang diberi mandat dan amanah untuk upacara pembukaan serta penutup,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");