Panasnya Hari Ini

46 Peserta MyCorps Sedia Ke Afrika

Cheras: Seramai 46 peserta MYCORPS telah bersedia untuk menyempurnakan misi bantuan kemanusiaan di Afrika yang dijangka bermula pada 7 Januari ini.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata peserta misi kali ini perlu berdepan dengan cabaran yang lebih sukar berbanding misi-misi sebelum ini berikutan keadaan negara Afrika yang daif.

Jelas beliau, kesemua peserta yang terpilih diharapkan dapat membawa perubahan yang lebih baik kepada masyarakat di Afrika selain menjalankan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada komuniti bangsa.

“Mereka bakal melihat pelbagai perkara yang paling daif dari segi bentuk pembangunan kemanusiaan serta krisis kesihatan,” kata Khairy di Sesi Meet and Greet bersama peserta MYCORPS Afrika, hari ini.

Katanya lagi, di peringkat awal MyCorps menerima kira-kira 406 permohonan untuk menyertai misi berkenaan namun hanya 46 perserta dipilih hasil saringan ketat.

Beliau menjelaskan, kesemua peserta dipilih dengan teliti merangkumi pelbagai aspek dan latar belakang bagi memastikan mereka yang terbaik untuk mewakili Malaysia.

“Negara kita kecil tetapi memainkan peranan yang besar dalam komuniti negara, ini adalah tanggungjawab kita dari sebahagian daripada itu.

“Sebab itu peserta yang dipilih merangkumi kepelbagaian dari segi kepakaran dimana ia termasuk individu-individu yang berlatarbelakangkan bidang perubatan, kejuruteraan, pembinaan, pendidikan dan sebagainya.

“MYCORPS bukan sahaja ingin membawa perubahan kepada mereka yang memerlukan pertolongan tetapi juga membawa perubahan kepada diri kita sendiri, untuk melatih diri kita menjadi pemimpin yang bagus untuk masa hadapan,” katanya lagi.

Justeru, Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu menyatakan sekiranya kesemua peserta berkenaan mampu bertahan di Afrika maka diyakini mereka akan dapat bertahan di mana-mana sahaja.

Jelasnya lagi, misi berkenaan antara lain dilihat mampu menyerlahkan sikap kepimpinan di dalam diri peserta dan komited untuk membawa perubahan yang lebih baik bukan sahaja di sana tetapi disekeliling mereka juga.

“Afrika di dalam keadaan yang tidak baik dan memerlukan bantuan kemanusiaan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");