Isu Panas

9 NGO Pahang Buat Laporan Polis Terhadap Mahfuz

KUANTAN: Sembilan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini tampil membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang didakwa memperlekehkan dan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai bahan jenaka dalam ceramah politiknya.

Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong, berkata tindakan Mahfuz sebagai antara ahli politik senior di negara ini, sangat mengejutkan dan tidak boleh diterima.

“Kami anggap tindakan beliau adalah biadap dan tidak menghormati institusi beraja yang diamalkan di negara ini. Ia jelas menunjukkan Mahfuz sebagai seorang yang ego dan tidak menunjukkan dirinya sebagai seorang ahli politik yang matang.

“Tindakan membandingkan keadaan (kesihatan) Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah sangat tidak bijak kerana kedudukan Tuanku adalah satu kedudukan melangkaui sistem politik negara, sedangkan Dr Mahathir adalah satu isu politik dan tidak ada kaitan langsung dengan institusi beraja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.

Laporan itu dibuat berikutan tersebar klip video ceramah Mahfuz menerusi aplikasi WhatsApp yang mengulas kewajaran Dr Mahathir berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal menjadi Sultan Pahang walaupun sedang gering.

Selain MBM Pahang, antara yang turut membuat laporan sama ialah Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia negeri, Razaki Omar; Exco Majlis Belia FELDA Wilayah Kuantan, Adri Bahtiar Abdul Aziz; Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) negeri, A Rajeswaran; Exco Majlis Belia Daerah Kuantan, Mohd Zharif A Rahim dan Setiausaha Pertubuhan Aspirasi Anak Seni Pahang, Salman Mohd Zaki.

Wan Emril Nizam berkata, selain mendesak siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dilakukan terhadap Mahfuz, mereka juga berharap tindakan tegas juga diambil untuk dijadikan pengajaran kepada individu atau ahli politik lain supaya tidak mengulangi kenyataan yang boleh mencemarkan institusi beraja di negara ini.

“Kalau kita nak harapkan beliau meminta maaf, ia tidak akan berlaku kerana semalam Mahfuz sudah mengatakan beliau tidak akan meminta maaf…ini sudah jelas menggambarkan betapa egonya beliau.

“Jadi, kalau minta maaf pun Mahfuz tidak mahu…kita desak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada terhadap ahli Parlimen Pokok Sena itu.

“Saya percaya, Mahfuz cuba menarik perhatian dan meraih simpati dengan melakukan perkara seumpama ini selepas meninggalkan PAS…kita tidak mahu tahu apa niat beliau, tapi apa saja yang beliau buat, beliau perlu bertanggungjawab,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");